21,114 remaja hamil anak luar nikah
Angka 21,114 bukan sekadar statistik. Sepanjang 2019 hingga 2024, itulah jumlah remaja berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin direkodkan hamil di fasiliti kerajaan, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pendedahan itu dikongsikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, sekali gus membuka semula perbincangan mengenai cabaran kesihatan reproduktif dalam kalangan generasi muda.
Di sebalik angka tersebut, kerajaan melihat isu ini sebagai tanggungjawab bersama yang memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, bukan sekadar intervensi jangka pendek.
Nancy berkata, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), termasuk pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) bagi meningkatkan kesedaran serta membina masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan.
“Ia bermatlamat meningkatkan kesedaran semua pihak berkaitan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berdaya tahan.
"Di bawah pelan tindakan ini, pembangunan kemahiran berkaitan kesihatan reproduktif yang positif dan selamat ditekankan sama ada melalui pendidikan formal di sekolah dan tidak formal di luar sekolah,” katanya.
Pelaksanaan PEKERTI turut melibatkan kerjasama pelbagai kementerian menerusi platform Majlis Sosial Negara. Program yang dirancang bukan sahaja dilaksanakan di sekolah, malah diperluaskan ke institusi pengajian tinggi serta komuniti melalui aktiviti promosi, advokasi dan pendidikan berterusan, dengan harapan kesedaran dapat dibentuk secara menyeluruh dari usia muda hingga dewasa.
Dalam masa sama, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memperkukuh sokongan kepada remaja melalui Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah.
Inisiatif ini menyediakan ruang bimbingan serta pendidikan bagi membantu remaja membina kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang lebih positif.
“KafeTEEN merupakan inisiatif LPPKN bagi menyediakan ruang bimbingan dan pendidikan kepada remaja untuk membentuk kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang positif.
"Ketika ini, akses kepada perkhidmatan sokongan remaja diperluaskan melalui 18 Pusat Remaja KafeTEEN, sebuah trak KafeTEEN serta pelaksanaan program komuniti yang menawarkan perkhidmatan klinik kesihatan reproduktif dan kaunseling psikososial,” katanya lagi.
Program tersebut turut diperkasakan melalui latihan pendidik rakan sebaya di bawah Kelab KafeTEEN yang kini beroperasi di 143 sekolah menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pendekatan rakan sebaya dilihat mampu membuka ruang komunikasi lebih santai, sekali gus membantu remaja mendapatkan maklumat dalam suasana yang selamat.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan merancang melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu bagi memperkasakan institusi kekeluargaan serta memperkukuh peranan ibu bapa dan remaja dalam perancangan keluarga.
Nancy menegaskan bahawa usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah memerlukan penglibatan semua pihak demi memastikan masa depan generasi muda terus terpelihara.
“Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda kita yang lebih sejahtera,” katanya.
