Kenapa remaja susah untuk 'open up'?
Ramai remaja memilih untuk memendam perasaan dan tidak berkongsi masalah dengan ibu bapa bukan kerana hilang kepercayaan, sebaliknya bimbang terhadap akibat apabila mereka berterus terang.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri dan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Profesor Datuk Dr Andrew Mohanraj, remaja sering berdiam diri kerana takut emosi mereka dipandang remeh atau tidak diiktiraf.
“Mereka menjangka respon seperti ‘awak berlebihan’, ‘budak lain lagi susah’ atau ‘jangan malas’. Apabila emosi sering diminimumkan, remaja belajar bahawa diam lebih selamat daripada bersikap jujur,” jelasnya kepada Pop Family.
Dr Andrew menjelaskan, dalam konteks masyarakat Asia, ramai remaja memikul harapan serta pengorbanan ibu bapa sehingga takut mengecewakan keluarga.
Justeru, berkongsi tekanan kadangkala terasa seperti mengaku gagal atau tidak menghargai usaha ibu bapa.
Tambahnya, pola komunikasi juga menjadi punca apabila ibu bapa terlalu cepat memberi nasihat atau penyelesaian, sedangkan remaja memerlukan ruang emosi untuk didengari terlebih dahulu.

“Remaja biasanya mahu sokongan emosi sebelum mereka bersedia menerima cadangan. Mereka perlukan rasa difahami,” ujarnya.
Dalam masa sama, remaja bimbang kehilangan autonomi apabila masalah diluahkan termasuk kemungkinan dikawal lebih ketat, dipantau atau kebebasan disekat. Pengalaman negatif seperti respon marah atau menolak perasaan juga boleh membuatkan mereka ‘tertutup’ untuk jangka masa panjang.
Tekanan
Mengulas tekanan jangkaan keluarga, Dr Andrew menegaskan jangkaan ibu bapa tidak semestinya memudaratkan, namun ia boleh menjejaskan emosi apabila kasih sayang dan nilai diri anak diukur melalui pencapaian semata-mata.
“Masalah timbul apabila remaja merasakan mereka dihargai apabila berjaya dan tidak diterima apabila sedang bergelut. Ini boleh mencetuskan kebimbangan berpanjangan, ketakutan terhadap kegagalan dan kecenderungan bersikap terlalu sempurna,” katanya.
Beliau turut mengingatkan budaya membanding-bandingkan, termasuk antara adik-beradik atau rakan sebaya, boleh menggugat keyakinan diri remaja hingga mereka berasa tidak cukup baik.
Kegagalan juga menjadi lebih berat apabila ia dianggap sebagai kelemahan karakter, bukan satu proses pembelajaran.

Selain itu, tekanan emosi sering dilihat sebagai kelemahan dalam masyarakat. Kanak-kanak lelaki khususnya dididik untuk menahan perasaan, menyebabkan emosi terpendam muncul semula dalam bentuk mudah marah, mengasingkan diri, berisiko atau aduan fizikal seperti sakit kepala, sakit perut dan keletihan.
Cakna
Sementara itu, pelakon berbakat besar, Puteri Balqis, 19, berpandangan sebahagian ibu bapa tidak pernah didedahkan dengan ilmu berkaitan tekanan, kebimbangan melampau dan trauma, menyebabkan isu kesihatan mental sering disalah faham serta dipendam dari satu generasi ke generasi seterusnya.
“Saya rasa kebanyakan ibu bapa dalam dunia ini, mereka tidak diajar tentang tekanan, kebimbangan melampau, PTSD. Mereka tahu apa mereka rasa, mereka tahu ia sesuatu seperti penyakit, tetapi mereka disuruh untuk diam dan mungkin perkara itu berterusan dari generasi ke generasi,” katanya.

Bintang yang popular menerusi siri Balqis itu turut berkongsi bahawa keluarganya mengamalkan komunikasi terbuka, sekali gus memudahkan proses memahami emosi masing-masing.
“Apa yang kita rasa kita akan cakap. Kalau dia tidak setuju, kita akan cerita pada waktu itu juga. Tiada siapa yang akan memendam,” katanya.
Mengulas stigma generasi lebih berusia yang mengaitkan kesihatan mental dengan 'gila', Puteri Balqis menegaskan perubahan hanya boleh berlaku apabila mereka bersedia belajar.
“Selagi mereka tak mahu belajar, mereka tidak akan mengetahui perkara sebenar mengenai kesihatan mental. Bila mereka belajar atau ambil tahu, mereka mesti akan faham kesihatan mental juga adalah penyakit yang makin lama makin merebak sekiranya tidak dirawat dengan betul,” katanya.
