Apabila impian anak bukan pilihan ibu bapa
Persoalan sama ada ibu bapa wajar menentukan hala tuju kerjaya anak-anak bukan isu baharu, namun ia semakin relevan dalam era moden yang menyaksikan perubahan landskap pekerjaan yang pantas dan tidak lagi bersifat linear.
Di sebalik niat melindungi masa depan anak, campur tangan yang berlebihan boleh memberi kesan besar terhadap pembentukan identiti, keyakinan diri dan kesejahteraan emosi mereka dalam jangka panjang.

Menurut Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA, Dr Iman Mohamed Ali, pemilihan kerjaya bukan sekadar soal pekerjaan atau sumber pendapatan, sebaliknya merupakan sebahagian penting dalam proses pembentukan identiti seseorang.
Jelasnya, ketika fasa remaja menuju awal dewasa, anak-anak sedang membina kefahaman tentang siapa diri mereka, nilai hidup yang dipegang serta kebolehan yang ingin dicapai.

Justeru apabila pilihan kerjaya dibuat secara paksaan atau dikawal sepenuhnya oleh ibu bapa, proses pembentukan identiti ini boleh terganggu.
“Dalam jangka panjang, anak mungkin membesar dengan keyakinan diri yang tidak stabil, mudah ragu-ragu dan sentiasa memerlukan pengesahan atau kelulusan orang lain sebelum berani membuat keputusan,” katanya kepada Pop Family.
Keadaan tersebut, boleh menyebabkan rasa bimbang yang berpanjangan, ketakutan untuk mencuba perkara baharu serta keraguan terhadap kebolehan diri sendiri.
Lebih membimbangkan, ada individu dewasa yang secara luaran kelihatan berjaya dan stabil, tetapi berdepan tekanan emosi dan rasa kosong.
Puncanya adalah ketidakpuasan terhadap kehidupan yang dijalani kerana laluan kerjaya tersebut tidak selari dengan minat dan pilihan sebenar, sebaliknya sekadar memenuhi kehendak keluarga.
BUKAN KESALAHAN
Bagaimanapun dalam masa sama, Dr Iman menegaskan, penglibatan ibu bapa dalam pemilihan kerjaya anak bukan sesuatu yang salah, asalkan peranan itu bersifat sokongan dan bukan penentuan mutlak.
Ibu bapa disaran menjadi pendengar, pemberi panduan serta berkongsi pengalaman hidup dan realiti dunia pekerjaan, sambil menghormati autonomi anak dalam membuat keputusan.
Pendekatan ini, katanya, membantu anak membina keupayaan kendiri atau self-efficacy, iaitu keyakinan bahawa suara dan keputusan mereka penting serta dihormati.
“Anak juga belajar bahawa kegagalan bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya sebahagian daripada proses pembelajaran dan perkembangan hidup,” jelasnya.
Asas inilah yang menyumbang kepada kesejahteraan mental, daya tahan emosi dan kepuasan hidup yang lebih baik dalam jangka panjang.
Mengulas isu tekanan emosi halus yang tidak disedari ibu bapa, Dr Iman berkata, ia kerap berlaku melalui ungkapan yang berniat baik, namun memberi kesan mendalam kepada emosi anak.
Malah ungkapan yang mengaitkan pengorbanan keluarga atau meletakkan harapan besar di bahu anak boleh membuatkan mereka berasa bersalah dan terpaksa akur walaupun bertentangan dengan minat sendiri.
“Jika anak merasakan mereka hanya disayangi apabila memenuhi harapan keluarga, itu tanda sokongan telah bertukar menjadi tekanan emosi,” katanya.
Keadaan ini boleh mendorong kepada kemurungan, kebimbangan serta rasa kecewa terhadap diri sendiri.
Bagi anak yang mempunyai minat berbeza daripada harapan keluarga, Dr Iman menyarankan komunikasi berasaskan empati sebagai pendekatan terbaik.
Ibu bapa digalakkan mendengar untuk memahami dunia anak, bukan untuk membandingkan pengalaman atau menafikan perasaan mereka.
Dialog dua hala yang berterusan dan penuh hormat mampu mengurangkan konflik serta memelihara hubungan kekeluargaan.
BERI PELUANG

Pandangan ini turut dikongsi pelakon, Sharifah Rose, yang melihat perubahan ketara dalam dunia pekerjaan hari ini.
Menurutnya, peluang kerjaya kini jauh lebih luas berbanding dahulu, termasuk bidang yang sebelum ini tidak dianggap sebagai industri serius.
“Zaman sekarang pilihan pekerjaan lebih banyak dan berbeza. Jadi ibu bapa patut beri peluang dan sokongan untuk anak-anak terokai sendiri,” katanya, sambil menegaskan kepentingan sokongan keluarga dalam membantu anak menyesuaikan diri dengan realiti semasa.
