Kes salah guna AI di universiti ternama AS cetus kebimbangan mengenai integriti akademik
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran semakin menjadi kebiasaan. Namun, satu kes di Universiti Brown, Amerika Syarikat mencetuskan persoalan tentang bagaimana teknologi itu digunakan dan kesannya terhadap integriti akademik.
Menurut laporan Amanz, purata markah pelajar dalam sebuah kelas ekonomi merosot hampir 50 peratus selepas pensyarah mewajibkan semula peperiksaan dijalankan secara bersemuka kerana mengesyaki berlaku penipuan menggunakan AI.
Profesor Ekonomi, Roberto Serrano yang mengajar kelas Ekonomi Kebajikan dan Teori Pilihan Sosial mengambil tindakan itu selepas ujian pertengahan tahun yang dibuat di rumah mencatatkan purata markah luar biasa tinggi, iaitu 96 peratus.
Ujian berkenaan pada asalnya dibenarkan dibuat dari rumah atas faktor keselamatan susulan insiden tembakan di kampus. Namun, keputusan yang dicatatkan jauh melebihi julat normal antara 68 hingga 80 peratus sebelum ini.
Apabila peperiksaan kembali dijalankan di dalam kelas, 18 daripada 86 pelajar memilih untuk berhenti mengambil kelas berkenaan, manakala sembilan lagi tidak hadir.
Baki 59 pelajar yang menduduki peperiksaan secara bersemuka hanya mencatatkan purata markah 48.6 peratus, satu perbezaan ketara berbanding keputusan ujian yang dibuat di rumah.
Situasi ini mencetuskan kebimbangan mengenai integriti akademik, lebih-lebih lagi Universiti Brown merupakan antara institusi pendidikan tinggi berprestij dalam kelompok Ivy League.
Pada masa sama, ia membuka persoalan yang lebih besar. Apabila AI semakin mudah digunakan untuk mendapatkan jawapan, sejauh mana keputusan akademik masih mencerminkan pemahaman dan kemampuan sebenar seseorang pelajar?
AI boleh menjadi alat yang membantu proses pembelajaran. Namun, penggunaannya tanpa batas juga boleh menjadikan teknologi sebagai jalan pintas sehingga pelajar tidak lagi melalui proses berfikir, memahami dan menyelesaikan masalah sendiri.
Beberapa negara mula mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap penggunaan AI dalam pendidikan. Norway, misalnya, dilaporkan mengenakan sekatan ketat dalam kelas, termasuk melarang penggunaannya dalam kalangan murid berusia enam hingga 13 tahun.
Apabila AI semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi muda, cabaran dunia pendidikan kini bukan sekadar menerima atau menolak teknologi tersebut. Persoalan yang lebih penting adalah bagaimana ia boleh digunakan tanpa mengorbankan proses pembelajaran dan integriti akademik.
Sumber: Awani
