Memahami krisis identiti remaja
Anak yang dahulunya petah bercerita tiba-tiba lebih banyak berdiam diri. Ada kalanya dia kelihatan ceria dan ketawa seperti biasa, namun tidak lama kemudian mudah tersinggung atau mengasingkan diri di dalam bilik.
Perubahan-perubahan kecil seperti ini sering membuatkan ibu bapa tertanya-tanya sama ada anak mereka sedang berdepan masalah, terpengaruh dengan persekitaran atau sekadar melalui fasa biasa sebagai remaja.
Hakikatnya, ramai remaja sedang melalui proses memahami siapa diri mereka sebenarnya ketika beralih daripada alam kanak-kanak kepada dunia dewasa.
Menurut Pakar Psikologi Klinikal Hospital Pakar Ampang Puteri, Aina Nur Azmi, keadaan tersebut sebenarnya sebahagian daripada proses perkembangan yang normal apabila seseorang sedang membina identiti diri.
Katanya, penerokaan identiti merupakan proses sihat yang lazim berlaku ketika usia remaja hingga awal dewasa.
“Dalam fasa ini, remaja mula mempersoalkan nilai diri, personaliti, minat dan kecenderungan mereka. Proses ini membantu mereka membina jati diri yang lebih stabil serta memahami siapa diri mereka sebenarnya,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu perlu diberi perhatian apabila ia mula menjejaskan kehidupan harian, hubungan sosial dan kesejahteraan emosi remaja.
Tambah Aina, antara faktor yang boleh menyebabkan remaja berasa keliru tentang diri sendiri ialah apabila mereka tidak diberi ruang untuk meneroka minat serta mengenali diri dengan lebih mendalam.
Pada peringkat usia ini, adalah normal untuk remaja mempersoalkan perkara yang selama ini dianggap biasa dalam kehidupan mereka. Namun, apabila ruang untuk meneroka terlalu terbatas, ada yang memilih untuk memberontak atau mencari jawapan sendiri melalui sumber yang kurang sesuai.
Perubahan hormon
Dalam masa sama, perubahan hormon ketika akil baligh turut mempengaruhi emosi mereka. Remaja menjadi lebih sensitif, mudah tersinggung dan mengalami perubahan emosi yang ketara.
“Apabila konflik dengan ibu bapa atau orang dewasa berlaku, ada remaja yang memilih untuk mengasingkan diri. Dalam keadaan itu, mereka lebih mudah dipengaruhi oleh apa yang dibaca, didengar dan dilihat,” ujarnya.
Beliau berkata, media sosial turut memainkan peranan besar dalam membentuk cara remaja melihat diri mereka.
Walaupun tidak semua kandungan di internet bersifat negatif, paparan kehidupan yang terlalu sempurna boleh menyebabkan remaja merasakan diri mereka tidak cukup baik. Pada masa sama, keinginan untuk diterima oleh rakan sebaya menjadikan tekanan tersebut lebih sukar untuk diuruskan.
Selain media sosial, pengaruh rakan juga memberi kesan besar kerana remaja banyak menghabiskan masa bersama kelompok sosial mereka di sekolah dan komuniti.
“Dalam usia ini, mereka mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menyesuaikan diri dengan rakan sebaya, termasuk dari segi tingkah laku dan cara pemikiran,” katanya.

Beri perhatian
Antara tanda yang perlu diperhatikan ibu bapa termasuk perubahan emosi yang ketara, kecenderungan mengasingkan diri, lebih mudah marah, kemerosotan prestasi akademik serta pengabaian penjagaan diri.
Justeru, Aina menegaskan ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai sumber sokongan emosi dan bukannya sekadar pengawal tingkah laku.
“Komunikasi terbuka tanpa penghakiman sangat penting supaya remaja berasa selamat untuk berkongsi perasaan mereka.
“Terlalu banyak perbualan berbentuk arahan boleh menyebabkan anak menjauhkan diri. Sebaliknya, ibu bapa perlu lebih banyak mendengar dan cuba memahami dunia mereka,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berbentuk dialog lebih berkesan berbanding larangan atau hukuman semata-mata. Apabila remaja berasa didengar, mereka biasanya lebih terbuka untuk menerima panduan dan nasihat daripada ibu bapa.
Dalam usaha membimbing anak yang sedang mencari identiti diri, ibu bapa juga disaran untuk meneroka minat mereka, meluangkan masa berkualiti bersama dan memberi ruang yang selamat untuk mereka mengekspresikan perasaan.
Tambah Aina, didikan agama boleh menjadi asas penting dalam membantu remaja membina identiti yang lebih kukuh kerana ia memberikan nilai, arah hidup dan pegangan yang jelas.
“Apabila disampaikan secara seimbang dan relevan dengan kehidupan seharian, didikan agama boleh menjadi sumber kekuatan dalaman yang membantu remaja menghadapi tekanan sosial dengan lebih stabil dan yakin,” katanya.
