"Kita terlalu lembut, mereka pula semakin berani" - Nourul
Membesarkan anak pada era digital bukanlah tugas mudah, lebih-lebih lagi apabila jurang pemikiran antara generasi semakin ketara.
Bagi penyanyi, Nourul Depp atau Noorulhuda Abdul Wahab, cabaran terbesar yang dihadapi ibu bapa hari ini bukan sekadar teknologiatau media sosial, sebaliknya perbezaan mentaliti antara generasi yang semakin jelas.
Menurut Nourul, 49, setiap generasi dibentuk oleh pengalaman hidup yang berbeza, sekali gus mempengaruhi cara mereka berfikir, berkomunikasi dan melihat dunia.
Anak jati Pulau Pinang yang mempunyai empat cahaya mata iaitu Ayu Nazirah, 27, hasil perkahwinan terdahulu dengan komposer Ajai, serta Zachary Depp, 13, Raphael Depp, 11, dan Isabella Depp, 7, bersama suami, Eric Daniel Depp berkata, perubahan itu menuntut ibu bapa untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
Menurut Nourul, dia melihat bagaimana pendekatan keibubapaan berubah daripada satu generasi ke satu generasi yang lain.
Katanya, datuk dan nenek yang melalui zaman perang lazimnya lebih tegas dalam mendidik anak-anak, manakala generasi selepas itu mula mengamalkan pendekatan yang lebih terbuka dan mesra.
"Bila sampai kepada generasi kita, ramai yang membesarkan anak-anak dengan lebih lembut, penuh kasih sayang dan ada kalanya terlalu memanjakan mereka.
"Pada masa sama, anak-anak yang lahir pada tahun 1990-an, 2000 dan ke atas pula mempunyai karakter yang lebih kuat dan berani menyuarakan pandangan.
"Jadi cabaran yang kita hadapi hari ini adalah apabila kita terlalu lembut, mereka pula semakin berani," katanya.

Tambah Nourul, keadaan itu kadangkala menyebabkan ibu bapa berdepan kesukaran untuk memahami cara anak-anak berfikir dan bertindak.
Namun, dia percaya perbezaan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai satu masalah, sebaliknya perlu ditangani dengan pendekatan yang lebih sesuai dengan generasi masa kini.
Komunikasi jadi jambatan
Mengulas lanjut, Nourul menyifatkan komunikasi sebagai elemen paling penting dalam membina hubungan yang sihat antara ibu bapa dan anak-anak.
Menurutnya, kebanyakan konflik yang berlaku dalam keluarga berpunca daripada kegagalan memahami antara satu sama lain.
"Apa juga hubungan, sama ada suami isteri, keluarga atau anak-anak, semuanya berbalik kepada komunikasi.
"Kita perlu tentukan apa masalah yang berlaku, fahami situasi itu dan berbincang mengenainya. Bila kita tahu puncanya, barulah kita boleh mencari jalan untuk mengatasinya," ujarnya.
Nourul turut mengakui cara komunikasi anak-anak hari ini berbeza berbanding generasi terdahulu yang lebih gemar berbual secara bersemuka.
"Dulu kita bercakap dengan melihat mata antara satu sama lain. Sekarang ramai anak-anak lebih selesa berkomunikasi melalui telefon atau aplikasi mesej.
"Kalau itu cara yang mereka selesa, ibu bapa perlu cuba mendekati mereka melalui medium tersebut terlebih dahulu sebelum mengajak mereka berbual secara berdepan," katanya.

Disiplin tanpa mengongkong
Dalam pada itu, Nourul berpendapat ibu bapa perlu membezakan antara mendisiplinkan dan mengawal anak-anak.
Katanya, setiap keluarga perlu mempunyai peraturan tersendiri bagi membentuk disiplin, namun pada masa sama memberi ruang kepada anak-anak untuk meneroka minat dan potensi mereka.
"Kita tidak boleh mengawal apa yang mereka suka. Kalau mereka minat muzik atau mahu menjadi penyanyi, kita tidak boleh menghalang.
"Tetapi sebagai ibu bapa, kita perlu mewujudkan peraturan. Bila bangun pagi apa yang perlu dibuat, persiapan ke sekolah, penggunaan telefon dan jadual harian.
"Kalau ibu bapa tidak mewujudkan peraturan ini, anak-anak mungkin sukar memahami disiplin apabila mereka meningkat dewasa," jelasnya.
Bagi Nourul, membesarkan anak-anak pada zaman sekarang sememangnya hadir dengan cabaran tersendiri, namun hubungan yang erat masih boleh dibina apabila ibu bapa sanggup mendengar, memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
"Walau apa pun cabarannya, kita tetap perlu mencari jalan tengah. Anak-anak dan ibu bapa mungkin datang daripada generasi yang berbeza, tetapi komunikasi yang baik akan sentiasa menemukan titik pertemuan," katanya.
