Dalam era digital yang serba pantas, ramai ibu bapa berdepan persoalan sama ada pendekatan didikan yang digunakan oleh generasi terdahulu masih sesuai diamalkan pada hari ini. 

Bagi usahawan dan pempengaruh, Raf Yaakob, nilai serta prinsip yang diterapkan oleh ibu bapa tetap relevan, namun perlu disesuaikan mengikut perubahan zaman.

Menurut Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob, dia masih berpegang kepada falsafah didikan yang diterapkan oleh arwah bapanya, Datuk Yaakob Mohammad, ketika membesarkan lima orang anaknya.

Bapa kepada Raden Ahmad Rayyan, 15; Raden Seri Raysaa Chanela, 11; Raden Muhammad, 7; Raden Seri Rosabella Cinta, 5, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 3 tahun itu berkata, nilai teras yang diterapkan sejak kecil masih menjadi panduan dalam kehidupannya sebagai seorang bapa.

- Advertisement / Iklan -

"Perlu, tetapi perlu disesuaikan sedikit. Saya dibesarkan oleh arwah ayah dengan cara tertentu, jadi apabila saya membesarkan lima orang anak, falsafah dan nilai teras itu masih sama.

"Cuma kita perlu buat sedikit penyesuaian kerana zaman sekarang sudah berbeza, terutama dengan kewujudan media sosial," katanya kepada Pop Family.

- Advertisement / Iklan -

Kesihatan mental 

Bapa kepada lima cahaya mata itu turut menegaskan bahawa kesihatan mental anak-anak perlu diberi perhatian, terutama anak lelaki yang menurutnya kadangkala lebih sensitif daripada yang disangka.
Bapa kepada lima cahaya mata itu turut menegaskan bahawa kesihatan mental anak-anak perlu diberi perhatian, terutama anak lelaki yang menurutnya kadangkala lebih sensitif daripada yang disangka.

Dalam pada itu, Raf berpandangan ibu bapa masa kini semakin peka terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental anak-anak berbanding generasi terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkembangan media sosial secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu tersebut, sekali gus mendorong ibu bapa untuk lebih memahami keperluan emosi anak-anak.

"Saya rasa ibu bapa sekarang memang lebih prihatin kerana kita hidup dalam era media sosial. Semua orang bercakap tentang kesihatan mental dan kesedaran itu semakin tinggi.

"Saya sendiri sangat menitikberatkan aspek kesihatan mental anak-anak," ujarnya.

Bekas suami pelakon Mawar Rashid itu berkata, sebagai bapa kepada lima cahaya mata yang datang daripada pelbagai peringkat usia dan latar pengalaman hidup, kesejahteraan emosi anak-anak sentiasa menjadi antara perkara utama yang diberikan perhatian.

Menariknya, Raf turut berkongsi pandangan bahawa anak lelaki memerlukan perhatian yang lebih dari sudut emosi berbanding apa yang sering disangka ramai.

Katanya, anak perempuan lazimnya lebih cepat matang dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan, manakala anak lelaki memerlukan masa yang lebih panjang untuk memahami serta mengurus emosi mereka.

"Jangan terkejut, kadangkala anak lelaki lebih sensitif daripada anak perempuan.

"Anak perempuan biasanya lebih cepat membesar dan matang. Anak lelaki pula mengambil masa untuk menyesuaikan diri dalam banyak perkara.

"Sebab itu saya rasa ibu bapa perlu memberi perhatian lebih kepada anak lelaki. Bukan bermaksud mengabaikan anak perempuan, tetapi mereka memerlukan sedikit perhatian tambahan kerana suatu hari nanti mereka akan menjadi ketua keluarga," katanya.