Siti Nurhaliza mahu Umairah utamakan pelajaran walaupun aktif dalam seni
Biduanita Negara, Siti Nurhaliza mengakui cabaran mengimbangi pelajaran dan kerjaya seni bukan sesuatu yang mudah, namun percaya perkara itu mampu dilakukan sekiranya seseorang mempunyai disiplin serta sokongan keluarga dan guru.
Menurut Siti, pengalaman yang dilaluinya ketika mula bergelar penyanyi menjadi pengajaran berharga yang kini boleh dijadikan panduan buat anak saudaranya, Ummi Umairah Saiful Anuar, 15, atau lebih dikenali sebagai Umairah yang sedang aktif mengembangkan bakat dalam dunia hiburan.
Katanya, ketika di bangku sekolah dahulu, dia perlu memikul dua tanggungjawab besar sebagai pelajar dan anak seni dalam masa yang sama.
"Saya mempunyai dua tanggungjawab sebagai pelajar dan juga anak seni. Saya tidak mahu kedua-duanya ketinggalan kerana kedua-duanya penting.
"Tetapi ketika itu, fokus utama saya tetap pada pelajaran kerana saya perlu menghabiskan SPM dan menjadi pelajar yang bertanggungjawab," katanya.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharu Umairah berjudul Hujung indah di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Aku cinta padamu itu mengakui jadual kerja yang padat ketika awal pembabitannya dalam industri seni sememangnya memenatkan.
Bagaimanapun, ketegasan ibunya serta kepercayaan yang diberikan guru-guru menjadi antara faktor yang mendorongnya untuk terus memberi komitmen terhadap pelajaran.
"Saya kalau kata tidak penat, memang bohong. Tetapi dalam masa yang sama, saya sentiasa ingatkan diri bahawa ibu saya sangat tegas.
"Saya juga tidak mahu mengecewakan guru-guru yang sudah memberikan kepercayaan kepada saya. Mereka benarkan saya terlibat dalam aktiviti seni, tetapi mengingatkan supaya tidak mengabaikan sekolah," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Siti menyifatkan Umairah sebagai seorang remaja yang matang dan sudah mempunyai pendedahan awal terhadap dunia hiburan sejak kecil.
Jelasnya, Umairah bukanlah wajah baharu dalam bidang seni kerana pernah menyertai pertandingan nyanyian, berlakon dan terlibat dalam pelbagai aktiviti seni sejak usia muda.
"Umairah seorang anak yang sangat matang dan dia bukanlah baru dalam dunia seni.
"Sejak kecil lagi dia sudah menyertai pertandingan daripada Bintang Kecil, berlakon dan terlibat dalam pelbagai aktiviti seni," katanya.
Tambah Siti, pendedahan yang diperoleh Umairah melalui pemerhatian terhadap perjalanan kerjayanya sedikit sebanyak membantu remaja itu memahami realiti sebenar dunia hiburan.
"Dia melihat sendiri bagaimana saya bekerja. Dia juga nampak kesibukan dan kepenatan yang datang bersama kerjaya seni.
"Sekarang adalah masanya untuk dia menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut," katanya.
Pada masa sama, Siti berharap Umairah dapat mengekalkan keseimbangan antara akademik dan minatnya dalam bidang seni meskipun kini sedang meniti laluan sebagai penyanyi.
Menurutnya, pendidikan tetap perlu diberikan keutamaan walaupun Umairah menuntut di sekolah muzik yang membolehkannya mengaplikasikan ilmu dipelajari terus di atas pentas.
"Saya berharap Umairah dapat seimbangkan antara pelajaran dan minatnya dalam bidang hiburan.
"Apa yang dipelajarinya di sekolah boleh dipraktikkan di atas pentas, tetapi akademik tetap perlu diberi perhatian," jelasnya.
Sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan pihak sekolah, Siti turut menjemput guru-guru Umairah ke majlis pelancaran single tersebut.
Katanya, kehadiran mereka membuktikan pentingnya peranan pendidik dalam membantu seseorang pelajar mencapai kejayaan bukan sahaja dalam akademik, malah bidang yang diminati.
