Jadi kawan, tetapi jangan hilang batasan, pesan Dr. Sharifah Shawati kepada ibu bapa
Mendidik anak remaja bukanlah tugas yang mudah, lebih-lebih lagi dalam dunia yang bergerak pantas dan dipengaruhi pelbagai perubahan sosial serta teknologi.
Bagi personaliti media, pengacara televisyen dan jurulatih imej korporat, Dr. Sharifah Shawati Syed Mohd, komunikasi menjadi antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi ibu bapa masa kini.
Menurut bekas pembaca berita TV3 itu, ibu bapa perlu memahami bahawa cara berfikir generasi remaja hari ini berbeza berbanding dahulu.
"Memang sangat mencabar kerana saya sendiri mempunyai anak remaja.
"Zaman sekarang, mereka tidak boleh ditegur dengan cara yang sama seperti generasi terdahulu. Untuk berkomunikasi dengan anak-anak remaja, kita perlu memahami cara mereka berfikir," katanya.
Tambah beliau, ibu bapa juga perlu belajar menjadi pendengar dan sahabat kepada anak-anak, namun dalam masa sama tidak mengabaikan peranan sebagai ibu bapa.
"Kadang-kadang kita perlu menjadi seorang kawan, tetapi bukan terlalu rapat sehingga hilang batasan.
"Sebagai ibu bapa, kita masih perlu meletakkan sempadan supaya mereka faham kenapa kita berfikir sedemikian. Pada masa sama, kita juga perlu memahami mengapa mereka melihat sesuatu perkara daripada sudut yang berbeza," ujarnya.

Menurut Sharifah Shawati, jurang pemikiran antara ibu bapa dan anak remaja perlu dirapatkan melalui komunikasi yang sihat kerana setiap generasi membesar dalam persekitaran yang berbeza.
Katanya, kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman merupakan kunci penting dalam membina hubungan yang lebih baik dalam keluarga.
Mengulas mengenai pendekatan keibubapaan pula, Sharifah Shawati berpendapat nilai-nilai didikan Asia masih relevan dan wajar dipertahankan walaupun masyarakat kini semakin terdedah kepada pengaruh Barat.
"Pada saya, didikan ala Asia masih lebih baik kerana kita mengekalkan ciri-ciri kesopanan, adab dan tata susila.
"Walau sejauh mana kita menerima pengaruh luar, nilai seperti menghormati orang lain, menjaga etika dan beradab dalam kehidupan seharian masih sangat penting," katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan nilai murni tidak terhad kepada budaya tertentu sahaja kerana setiap agama turut mengajar manusia menjadi individu yang baik serta menghormati sesama insan.
"Semua agama mendidik kita untuk menjadi manusia yang baik dan menghormati orang lain.
"Itulah nilai yang perlu terus dipupuk dalam keluarga, tidak kira apa juga pendekatan yang digunakan," katanya.
