Ibu bapa juga manusia: Cara urus emosi dan elak burnout
Trend gentle parenting semakin mendapat tempat dalam kalangan ibu bapa masa kini. Pendekatan yang menekankan empati, komunikasi dan disiplin tanpa kekerasan itu dilihat sebagai satu anjakan positif dalam membesarkan anak.
Namun, di sebalik usaha untuk menjadi ibu bapa yang lebih sabar dan memahami, wujud satu realiti yang jarang diperkatakan iaitu keletihan dalam keibubapaan atau parenting fatigue.
Menurut Pakar Psikiatri Hospital Al Sultan Abdullah UiTM, Dr Nurul Aqma Mohd Kamil, perasaan hilang sabar atau penat secara emosi dalam mendidik anak adalah sesuatu yang sangat normal.
Katanya, keibubapaan menuntut kawalan emosi yang tinggi atau regulasi kendiri berterusan, sedangkan manusia mempunyai had tenaga mental.

“Apabila simpanan tenaga mental semakin berkurang, otak akan beralih kepada mod survival seperti fight or flight (lawan atau lari) yang menyebabkan seseorang lebih mudah marah atau melenting.
"Hilang sabar bukan tanda ibu bapa yang jahat, tetapi tanda seseorang itu sedang keletihan,” jelasnya kepada Pop Family.
Tambahnya, seseorang mungkin mengalami keletihan fizikal berpanjangan walaupun sudah berehat, selain perubahan emosi seperti rasa kosong atau semakin hambar terhadap anak.
“Dari segi tingkah laku pula, ibu bapa mungkin menjadi lebih mudah marah terhadap perkara kecil dan mula meragui keupayaan diri atau keyakinan diri yang rendah sebagai ibu bapa,” katanya lagi.
Terperangkap
Dalam masa sama, ramai ibu bapa terperangkap dengan rasa bersalah apabila memerlukan ruang untuk diri sendiri.
Situasi itu, menurut Dr Nurul Aqma, berpunca daripada beban untuk menjadi ibu bapa sempurna.
“Masyarakat sering mengagungkan pengorbanan tanpa batas sehingga ibu bapa berasa bersalah jika mendahulukan diri sendiri.
"Ramai yang menyangka mengambil masa untuk diri sendiri bermaksud mengabaikan anak, sedangkan hakikatnya ia adalah keperluan asas. Seseorang tidak mampu memberi jika dirinya sudah kehabisan tenaga,” ujarnya.
Justeru, beliau menekankan kepentingan ihsan kendiri dalam mengurus emosi. Ibu bapa perlu menerima hakikat bahawa tiada siapa mampu menjadi ‘lembut’ sepanjang masa, apatah lagi dalam dunia realiti yang penuh cabaran.
Konsep 'ibu bapa yang cukup baik' dilihat lebih realistik berbanding mengejar kesempurnaan. Jika tersilap langkah, ibu bapa tidak seharusnya terus tenggelam dalam rasa bersalah yang berpanjangan.
“Terima kesilapan sebagai ruang pembelajaran. Tingkatkan kemahiran mengurus emosi dan berlapang dada untuk memohon maaf kepada anak. Proses ini bukan sahaja membaiki hubungan, malah mengajar nilai empati dan tanggungjawab,” katanya.
Saranan
Dalam aspek praktikal, beliau menyarankan ibu bapa mengurus jangkaan harian agar tidak terlalu membebankan diri. Pada hari yang dirasakan sangat penat, tidak menjadi masalah jika rumah sedikit bersepah atau hidangan makan malam sekadar menu ringkas.
Selain itu, amalan rehat dalam tempoh singkat seperti mengambil masa beberapa minit untuk berehat tanpa gangguan boleh membantu menetapkan semula sistem saraf.
Komunikasi jujur dengan anak, contohnya meminta masa untuk bertenang, turut membantu membina sempadan sihat dalam hubungan kekeluargaan.
Sokongan sekeliling memainkan peranan penting. Penyanyi Liza Hanim turut mengakui pernah melalui fasa keletihan melampau dan menasihatkan ibu bapa agar tidak memendam perasaan bersalah.
“Kita semua manusia biasa. Akan ada masa kita penat dan tidak mampu mengawal keadaan. Jangan segan meminta bantuan sama ada daripada pasangan, keluarga atau rakan,” katanya.

Tambahnya, kehadiran sistem sokongan yang kukuh banyak membantu dirinya mengurus tekanan, termasuk ketika anak-anak masih kecil.
“Saya bersyukur mempunyai sokongan keluarga. Dulu saya tinggal bersama ibu dan mempunyai pembantu rumah. Sekarang keadaan lebih ringan kerana anak-anak sudah membesar dan mampu mengurus diri sendiri,” ujarnya yang berpandangan cabaran dilalui itu memberi ruang kepada anak-anak untuk belajar berdikari.

