Dalam dunia yang serba pantas hari ini, setiap individu berpeluang menjadi saksi kepada sesuatu kejadian hanya dengan sebuah telefon pintar.

Tidak dinafikan, perkembangan teknologi ini banyak membantu pihak berkuasa. Rakaman daripada kamera papan pemuka, telefon bimbit atau kamera litar tertutup sering menjadi bukti penting dalam membantu siasatan.

Namun, di sebalik manfaat tersebut, timbul persoalan, adakah setiap rakaman yang diterima perlu dikongsi kepada umum?

Menurut Pensyarah Komunikasi dan Media, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS), Rahmahtunnisah Sailin, masyarakat perlu memahami bahawa terdapat perbezaan antara merakam sesuatu kejadian sebagai bukti dan menyebarkannya sehingga menjadi tontonan ramai.

- Advertisement / Iklan -

Katanya, video yang memaparkan mangsa dalam keadaan kritikal atau imej yang mengaibkan bukan sahaja boleh mengundang pelbagai spekulasi, malah menjejaskan maruah mangsa serta ahli keluarga mereka.

"Rakaman mungkin penting untuk tujuan siasatan, tetapi tidak semestinya sesuai dijadikan kandungan tular. Mangsa bukan bahan sensasi, sebaliknya individu yang mempunyai maruah, keluarga dan emosi yang perlu dihormati," katanya kepada Pop Family.

- Advertisement / Iklan -

Hilang empati

Tambah beliau lagi, setiap kali rakaman tragedi dikongsi tanpa tapisan, masyarakat sebenarnya sedang berdepan risiko kehilangan nilai empati.

Apa yang sepatutnya menjadi bukti untuk membantu siasatan akhirnya bertukar menjadi bahan tontonan yang mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

"Penyebaran kandungan tragis secara berulang juga boleh memberi kesan psikologi, termasuk mereka yang tidak terlibat dengan sesuatu kejadian.

"Dalam bidang psikologi komunikasi, keadaan itu dikenali sebagai trauma sekunder iaitu tekanan emosi yang dialami apabila seseorang kerap terdedah kepada imej atau video yang mengganggu emosi," jelasnya.

Lebih menyedihkan, ada keluarga yang mengetahui ahli keluarga mereka terbabit dalam kemalangan menerusi video tular di media sosial sebelum menerima sebarang makluman rasmi daripada pihak berkuasa.

"Situasi seperti ini bukan sahaja menyakitkan emosi keluarga, malah menafikan hak mereka untuk menerima berita dengan penuh adab, hormat dan ihsan," jelasnya lagi.

Pensyarah Komunikasi dan Media, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS), Rahmahtunnisah Sailin, masyarakat perlu memahami bahawa terdapat perbezaan antara merakam sesuatu kejadian sebagai bukti dan menyebarkannya sehingga menjadi tontonan ramai.
Pensyarah Komunikasi dan Media, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS), Rahmahtunnisah Sailin, masyarakat perlu memahami bahawa terdapat perbezaan antara merakam sesuatu kejadian sebagai bukti dan menyebarkannya sehingga menjadi tontonan ramai.

Tanggungjawab

Mengulas lanjut, Rahmahtunnisah berkata, budaya klik dan kongsi tanpa berfikir semakin membimbangkan kerana ramai bertindak mengikut emosi tanpa mempertimbangkan kesan kepada pihak yang terlibat.

Katanya dalam situasi tertentu, orang ramai terdorong menjadi individu terawal berkongsi sesuatu rakaman atas alasan mahu memberi kesedaran kepada masyarakat atau menggesa tindakan segera diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

"Namun akhirnya, masyarakat terlupa bahawa terdapat mangsa dan keluarga yang sedang menanggung trauma besar di sebalik video tersebut," katanya.

Tambahnya lagi, ruang komen di media sosial juga sering berubah menjadi gelanggang emosi apabila warganet mula menghukum, mengecam dan membuat pelbagai andaian tanpa mengetahui keseluruhan cerita.

Keadaan itu menyebabkan media sosial tidak lagi berfungsi sebagai ruang menyampaikan maklumat atau meningkatkan kesedaran awam secara berhemah, sebaliknya menjadi tempat penyebaran spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat.

"Lebih membimbangkan, ramai terlupa untuk bertanya satu soalan penting, adakah perkongsian ini benar-benar membantu atau sekadar menambah penderitaan kepada pihak yang terlibat?" tegasnya lagi.

Pada pandangan Rahmahtunnisah setiap pengguna media sosial hari ini sebenarnya memainkan peranan sebagai gatekeeper digital atau penapis maklumat kerana mereka mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu kandungan wajar disebarkan atau dihentikan.

Katanya, tanggungjawab menjaga etika di media sosial tidak lagi terletak kepada organisasi media semata-mata, sebaliknya turut dipikul oleh setiap individu yang menggunakan platform digital.

"Sebelum menekan butang kongsi, tanyalah kepada diri sendiri sama ada kandungan itu benar-benar membantu atau sekadar menambah penderitaan orang lain?" soalnya sebelum mengakhiri perbualan.