Bila anak mula memasuki alam remaja, antara perkara yang sering membuatkan ibu bapa berasa serba salah ialah apabila mereka mula menunjukkan minat terhadap seseorang.

Perlukah hubungan itu terus dihalang? Atau lebih baik ibu bapa membuka ruang untuk anak berkongsi apa yang mereka rasa?

Bagi pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah, setiap ibu bapa pasti mempunyai kebimbangan sendiri. Namun, terlalu mengawal juga bukanlah jalan terbaik.

Menurutnya, semakin sesuatu perkara itu dilarang, semakin tinggi rasa ingin tahu remaja untuk mencubanya.

- Advertisement / Iklan -

"Lagi ditahan, lagi jadi. Memang kita risau dan benda itu memang tak bagus, tetapi itulah yang orang muda nak rasa," katanya kepada Pop Family.

Jelas Shahirah, ketika anak melalui fasa ini, ibu bapa perlu bijak mengimbangi peranan sebagai penjaga dan juga sahabat.

- Advertisement / Iklan -

Sharifah Shahirah (kiri) percaya hubungan yang rapat antara ibu bapa dan anak penting apabila remaja mula melalui fasa bercinta.
Sharifah Shahirah (kiri) percaya hubungan yang rapat antara ibu bapa dan anak penting apabila remaja mula melalui fasa bercinta.

Katanya, hubungan yang rapat akan membuatkan anak lebih selesa berkongsi apa yang berlaku dalam hidup mereka, termasuk soal perasaan.

"Masa itu kita kena jadi macam kawan dia juga. Bila dia cerita, kita dengar. Pada masa sama kita tetap ingatkan dia supaya jaga diri."

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak menjalani hubungan tanpa pemantauan, namun pendekatan yang terlalu mengongkong juga boleh memberi kesan sebaliknya.

"Jangan terlalu dikawal. Kadang-kadang bila terlalu dikawal, bila sesuatu jadi, lagi kita sakit hati."

Menurutnya lagi, anak-anak tetap perlu dipantau, tetapi dengan pendekatan yang lebih terbuka dan penuh kepercayaan.

"Kita memang kena pantau anak. Jangan dibiarkan."