Adakah keluarga anda sebenarnya toksik?
"Biasalah keluarga, mesti ada gaduh sikit."
Ungkapan ini sering digunakan untuk menenangkan keadaan apabila berlaku perselisihan antara ahli keluarga. Memang benar, setiap keluarga pasti melalui konflik kerana setiap individu mempunyai pandangan, keperluan dan emosi yang berbeza.
Namun, apabila pertelingkahan, sindiran atau penghinaan bukan lagi berlaku sekali-sekala, sebaliknya menjadi kebiasaan sehingga membuatkan seseorang hidup dalam ketakutan, hilang keyakinan diri dan sentiasa berasa tidak cukup baik, ia mungkin petanda hubungan itu tidak lagi sihat.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri MSU Medical Centre (MSUMC), Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi, konflik dalam keluarga adalah perkara normal.
Bagaimanapun, apabila sesuatu hubungan dipenuhi corak interaksi yang berulang sehingga menjejaskan emosi dan harga diri, ia bukan lagi sekadar konflik biasa.
"Hubungan keluarga toksik merujuk kepada pola interaksi yang secara konsisten menyebabkan tekanan emosi, ketakutan, rasa tidak selamat atau kehilangan harga diri.
"Apabila tingkah laku seperti memperlekeh atau memanipulasi emosi dianggap sebagai 'cara keluarga', ia bukan lagi konflik biasa, sebaliknya sudah menjadi pola hubungan yang tidak sihat," katanya kepada Pop Family.
Antara tingkah laku yang sering dinormalisasikan ialah menyindir rupa paras atau berat badan, membandingkan anak dengan adik-beradik lain, memperkecilkan pencapaian, menggunakan rasa bersalah untuk mengawal ahli keluarga serta menjadikan anak sebagai orang tengah ketika berlaku konflik.
Lebih membimbangkan, banyak tingkah laku seperti ini sebenarnya telah dinormalisasikan kerana dianggap sebahagian daripada budaya atau cara biasa sesebuah keluarga berkomunikasi. Tanpa disedari, perkara yang sering dianggap kecil itulah akhirnya meninggalkan luka emosi yang berpanjangan.
"Sindiran berulang termasuk body shaming bukan gurauan, tetapi satu bentuk microaggression yang boleh memberi kesan emosi yang teruk," jelas beliau.

People pleaser
Kesannya bukan kecil. Mangsa boleh membesar dengan keyakinan diri yang rendah, sentiasa merasakan diri tidak cukup baik, terlalu sensitif terhadap kritikan, menyimpan kemarahan yang terpendam serta berdepan risiko kemurungan dan kebimbangan.
Anak-anak juga tidak seharusnya dipaksa memikul konflik orang dewasa. Menjadikan mereka orang tengah dalam pertelingkahan ibu bapa atau tempat meluahkan masalah rumah tangga hanya membebankan emosi mereka pada usia yang masih mentah.
"Anak yang dibebani peranan dewasa dan menjadi 'punching bag' kepada ibu bapa untuk meluahkan perasaan terlalu awal sering membesar dengan luka emosi yang tidak disedari," ujarnya.
Pengalaman itu boleh menyebabkan anak membesar dengan rasa bersalah yang berpanjangan, sukar mempercayai orang lain, cenderung menjadi people pleaser serta mengalami kekeliruan identiti apabila dewasa.
Selain itu, hubungan yang tidak sihat juga boleh tercetus apabila wujud sikap sukar menerima kejayaan ahli keluarga sendiri.
Menurut Prof Dr Muhammad Najib, keadaan itu mungkin berpunca daripada persaingan adik-beradik yang tidak pernah diselesaikan sejak kecil, rasa rendah diri atau ciri personaliti narsistik.
Jika keadaan ini berlarutan, corak yang sama berisiko berulang sehingga menjejaskan hubungan kekeluargaan apabila masing-masing meningkat dewasa.
Luka emosi
Kesan hubungan keluarga yang toksik tidak terhenti ketika seseorang masih tinggal bersama keluarganya. Luka emosi yang tidak dirawat boleh mempengaruhi hubungan dengan pasangan, cara membesarkan anak serta keyakinan diri apabila dewasa.
"Ramai individu hanya menyedari punca masalah apabila mereka mula membina keluarga sendiri. Apabila mereka mula berinteraksi rapat dengan pasangan, menghadapi cabaran membesarkan anak atau melihat diri mengulang pola lama yang pernah mereka benci, barulah mereka sedar bahawa luka lama masih belum sembuh.
"Kesedaran ini penting kerana ia membuka ruang untuk perubahan, rawatan dan pembinaan pola hubungan yang lebih sihat," katanya.
Mengenal pasti bahawa sesuatu hubungan itu tidak sihat bukan bertujuan menyalahkan atau melabel ahli keluarga. Sebaliknya, kesedaran itulah langkah pertama untuk memutuskan kitaran luka yang mungkin telah berulang sejak sekian lama.
**Dalam bahagian kedua minggu hadapan, Pop Family akan berkongsi bagaimana seseorang boleh mengekalkan hubungan kekeluargaan tanpa mengorbankan kesejahteraan emosi, termasuk memahami konsep healthy boundaries, bila perlu mendapatkan bantuan profesional serta mengapa menjaga jarak tidak semestinya bermaksud memutuskan silaturahim.
