Dalam dunia digital yang semakin terbuka, soal keselamatan remaja di media sosial terus menjadi kebimbangan utama ibu bapa. 

Terbaharu, Meta Platforms mengambil langkah memperketat kawalan kandungan di Instagram khusus untuk pengguna muda di Malaysia.

Menerusi kemas kini tersebut, semua pengguna di bawah usia 18 tahun akan secara automatik diletakkan di bawah tetapan kandungan 13+, yang direka bagi menapis paparan agar bersesuaian dengan peringkat umur. 

Menariknya, tetapan ini tidak boleh diubah tanpa kebenaran ibu bapa.

- Advertisement / Iklan -

Langkah itu bermakna remaja masih berpotensi melihat kandungan bersifat sugestif atau bahasa kasar secara minimum, sama seperti filem kategori 13+, namun Meta memberi jaminan bahawa pendedahan itu akan terus dikawal dan diperhalusi dari semasa ke semasa.

Menurut Pengarah Dasar Awam Meta bagi Asia Tenggara Tengah dan ASEAN, Clara Koh, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, khususnya untuk generasi muda.

- Advertisement / Iklan -

“Keselamatan remaja dalam talian adalah keutamaan kami. Kami juga memperkenalkan ciri ‘Limited Content’, iaitu tetapan lebih ketat untuk ibu bapa yang mahukan kawalan tambahan terhadap kandungan yang dilihat anak mereka,” jelasnya.

Melalui sistem baharu ini, kandungan berunsur seksual, imej grafik serta bahan berkaitan dewasa akan terus ditapis seperti sebelum ini. 

Namun, penambahbaikan terkini turut melibatkan penapisan terhadap bahasa kasar, aksi berbahaya dan kandungan yang berpotensi mendorong tingkah laku berisiko, termasuk paparan berkaitan ganja.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, akaun yang kerap berkongsi kandungan tidak sesuai tidak lagi akan dipaparkan kepada remaja, malah dihadkan daripada berinteraksi dengan mereka. 

Fungsi carian juga diperketat, dengan sekatan terhadap pelbagai topik sensitif walaupun ejaan tidak tepat digunakan.

Apa yang lebih penting, sekatan ini bukan sahaja terhad kepada satu bahagian, tetapi merangkumi keseluruhan pengalaman pengguna termasuk cadangan kandungan, suapan, cerita dan mesej langsung. 

Malah, remaja juga tidak dapat membuka pautan yang melanggar garis panduan, walaupun dikongsi secara peribadi.

Dalam masa sama, Meta turut menyesuaikan sistem kecerdasan buatan (AI) mereka agar respons yang diberikan kekal sesuai untuk pengguna bawah 18 tahun.

Bagi ibu bapa yang mahukan kawalan lebih ketat, ciri ‘Limited Content’ membolehkan lebih banyak kandungan ditapis, termasuk mengehadkan interaksi remaja dengan komen pada hantaran tertentu.

Kemas kini ini akan dilaksanakan secara berperingkat di Malaysia dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Dalam landskap digital yang sentiasa berubah, langkah ini dilihat sebagai satu usaha penting dalam membantu ibu bapa dan remaja menavigasi dunia media sosial dengan lebih selamat dan terkawal.

Sumber: Sinar Daily