Kerajaan dijangka meneruskan usaha mengehadkan pembukaan akaun media sosial kepada individu berusia 16 tahun ke atas, dengan pelaksanaan seawal pertengahan tahun ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak kerajaan akan memberikan tempoh secukupnya kepada platform media sosial untuk melaksanakan langkah penyesuaian, termasuk memastikan tiada lagi akaun baharu atau sedia ada melibatkan pengguna bawah usia tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan had umur itu berkemungkinan bermula sekitar hujung Jun atau lebih awal sekiranya semua proses berjalan lancar.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pihaknya sedang meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebagai persediaan sebelum dasar itu dikuatkuasakan pada separuh kedua tahun ini.

- Advertisement / Iklan -

MCMC juga telah mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform utama seperti Meta, Google dan TikTok bagi mengenal pasti pendekatan paling sesuai untuk dilaksanakan.

Fahmi Fadzil (Foto: Bernama)
Fahmi Fadzil (Foto: Bernama)

- Advertisement / Iklan -

Dalam perkembangan lain, Fahmi turut menyentuh mengenai peranan teknologi kecerdasan buatan dalam industri media semasa merasmikan Asia-Pacific Broadcasting Union Digital Broadcasting Symposium 2026.

Menurutnya, walaupun teknologi tersebut semakin berkembang, AI tidak akan mampu menggantikan tugas wartawan atau pembaca berita secara sepenuhnya, khususnya dalam aspek analisis dan pertimbangan editorial.

Namun, beliau menjangkakan perubahan akan tetap berlaku dalam industri apabila mereka yang mahir menggunakan AI berpotensi menggantikan mereka yang tidak menguasai teknologi tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan telah memperkenalkan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta bagi membantu organisasi media menyesuaikan operasi mereka dengan perkembangan teknologi.

Dana tersebut diharap dapat memperkukuh penggunaan AI dalam industri tanpa menjejaskan peluang pekerjaan, di samping membuka ruang kepada model pendapatan baharu dalam ekosistem media.

Sumber: Bernama