‘Sayang anak berpada-pada’
Respons tersebut dilihat dekat dengan realiti ibu bapa yang berdepan perubahan sikap anak remaja.
Jawapan pendek Abby Abadi kepada satu hantaran di media sosial telah menarik perhatian umum mengenai hubungan ibu dan anak yang meningkat remaja.
Respons tersebut dilihat cukup dekat dengan realiti yang dilalui ramai ibu apabila berdepan perubahan sikap anak yang semakin membesar.
Menurut Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, antara kesilapan yang sering berlaku adalah cara didikan yang terlalu memanjakan selain memberi kebebasan tanpa batas sejak awal.
“Salah didikan, terlalu dimanjakan dan dibiar bebas untuk tentukan apa yang mereka suka atau tidak suka.
“Tiada yang beri arahan dan kerah dari awal. Kuat ya ibu,” kongsinya menerusi Threads.
Dalam masa sama, dia turut menitipkan pesanan agar ibu bapa berpada-pada dalam mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak.
“Sayang itu berpada-pada agar tidak terlalu kecewa bila mereka sudah ada kehidupan sendiri,” ujarnya.
Perkongsian tersebut dibuat sebagai respons kepada luahan seorang pengguna media sosial yang berkongsi cabaran berdepan perubahan sikap anak remaja.
“Ibu kepada ibu, macam mana kalian mengendalikan anak-anak yang meningkat remaja?
“Kadang-kadang sampai terasa kecil hati dengan sikap mereka. Susah untuk lupakan apa yang mereka lakukan terhadap kita. Saya perlukan solusi,” tulis pengguna tersebut.
Perbualan ringkas itu membuka ruang kepada satu realiti yang jarang dibincangkan secara terbuka. Fasa membesarkan anak remaja bukan sahaja mencabar dari segi tingkah laku, tetapi juga emosi ibu bapa.
Dalam diam, ramai yang sedang belajar menyeimbangkan antara kasih sayang, harapan dan penerimaan.
