Perubahan emosi dalam kalangan remaja sering menjadi cabaran besar kepada ibu bapa, terutama apabila anak dilihat mudah marah, cepat tersinggung atau sukar mengawal emosi.

Namun menurut Pakar Psikiatri merangkap Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Penolong Profesor Dr Hijaz Ridzwan, keadaan tersebut sebenarnya tidak berlaku tanpa sebab.

Jelasnya, perubahan emosi remaja lazimnya berpunca daripada pelbagai faktor yang berlaku secara serentak.

“Dari sudut biologi, otak remaja masih dalam proses perkembangan, khususnya bahagian yang mengawal impuls dan emosi.

- Advertisement / Iklan -

“Pada masa sama, hormon serta tekanan sosial seperti sekolah, rakan sebaya dan proses mencari identiti diri turut memberi kesan kepada kestabilan emosi mereka,” katanya kepada Pop Family.

Menurutnya, kemarahan yang ditunjukkan oleh remaja kadangkala bukan sekadar luahan emosi semata-­­­mata, sebaliknya menjadi cara mereka menyampaikan perasaan yang lebih mendalam.

- Advertisement / Iklan -

Pakar Psikiatri merangkap Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Penolong Profesor Dr Hijaz Ridzwan
Pakar Psikiatri merangkap Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Penolong Profesor Dr Hijaz Ridzwan

“Ada remaja yang sebenarnya berasa tidak difahami, tertekan dengan akademik, tidak dihargai atau memerlukan lebih kebebasan.

“Kemarahan sering menjadi ‘bahasa emosi’ apabila mereka belum mahir meluahkan perasaan dengan cara yang lebih matang,” jelasnya.

Kenal pasti tanda

Tambahnya lagi, perubahan emosi seperti mudah tersinggung, ingin lebih privasi atau kadangkala memberontak merupakan sebahagian daripada proses perkembangan remaja yang normal.

Namun ibu bapa perlu lebih peka sekiranya perubahan tersebut menjadi terlalu kerap, melampau atau berpanjangan.

Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk tingkah laku agresif sehingga melibatkan keganasan, kemerosotan prestasi akademik, gangguan selera makan atau tidur, serta kecenderungan mengasingkan diri secara ketara.

“Jika perubahan ini berlaku secara berterusan dan semakin ketara, ia boleh menjadi tanda amaran yang memerlukan perhatian serta sokongan profesional,” katanya.

Dalam membantu remaja mengawal emosi, pendekatan komunikasi yang betul memainkan peranan penting.

Menurut Dr Hijaz, antara kaedah paling berkesan ialah mendengar terlebih dahulu sebelum memberi nasihat.

“Remaja lebih mudah terbuka apabila mereka merasakan ibu bapa benar-benar ingin memahami, bukan sekadar mengawal atau menghukum.

“Selain itu, bercakap dengan nada tenang dan mengelakkan kritikan atau sindiran yang berlebihan juga dapat membantu mereka berasa dihargai,” ujarnya.

Dalam situasi konflik pula, keseimbangan antara disiplin dan empati amat penting bagi mengekalkan hubungan yang sihat antara ibu bapa dan anak.

“Remaja masih memerlukan batas dan panduan. Namun disiplin yang berkesan perlu disertai empati.

“Apabila ibu bapa memahami emosi anak sambil menetapkan had yang jelas, remaja akan melihat ibu bapa sebagai tempat yang selamat untuk kembali apabila hadapi kesukaran,” katanya.

Langkah praktikal

Bagi membantu remaja mengurus kemarahan, Dr Hijaz turut mencadangkan beberapa langkah praktikal yang boleh diamalkan di rumah.

Antaranya termasuk mewujudkan ruang perbualan terbuka dalam keluarga tanpa rasa takut dihukum, mengajar teknik menenangkan diri seperti menarik nafas dalam atau menulis perasaan dalam jurnal, serta menggalakkan aktiviti fizikal seperti bersukan bagi melepaskan tekanan.

Selain itu, rutin harian yang stabil termasuk waktu tidur yang mencukupi dan kawalan penggunaan gajet juga dapat membantu menstabilkan emosi remaja.

“Perubahan sikap jarang berlaku secara serta-merta. Namun dengan sokongan, kesabaran dan komunikasi yang konsisten, remaja boleh belajar mengurus emosi dengan lebih matang,” jelasnya.

Dalam masa sama, pelakon dan pengarah Que Haidar turut berkongsi pendekatan tersendiri ketika berdepan situasi anak yang sedang marah atau tertekan.

Menurut pemilik nama penuh Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar itu, memberi ruang kepada anak untuk menenangkan diri merupakan langkah pertama yang penting sebelum sebarang perbincangan dilakukan.

“Saya biasanya diam dahulu dan beri dia ruang untuk bernafas serta tenang. Kita pun sama juga, kadangkala perlukan ruang untuk bertenang. Jadi jangan terlalu menekan,” katanya.

Pelakon dan pengarah Que Haidar.
Pelakon dan pengarah Que Haidar.

Tambahnya selepas keadaan kembali tenang barulah perbualan dapat dilakukan dengan lebih baik.

“Saya rasa semuanya satu proses dan kita sebagai ibu bapa perlu belajar bagaimana mengendalikan situasi itu,” ujarnya.