Anak senyap, hubungan renggang?
Perubahan sikap anak yang tiba-tiba menjadi pendiam sering dianggap perkara biasa atau sekadar fasa mahukan ruang.
Namun menurut pakar, tidak semua diam itu bermaksud anak berada dalam keadaan yang baik.
Ada kalanya, sikap senyap itu menjadi bahasa halus menandakan anak sedang memendam perasaan dan tidak tahu bagaimana cara meluahkan rasa terbuku di hati.
Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-kanak CPC International, Dr Noor Aishah Rosli, menjelaskan perbezaan antara anak yang sekadar perlukan ruang dan sedang menarik diri secara emosi boleh dikenal pasti melalui corak, tempoh serta perubahan tingkah laku.
Jelasnya, antara tanda awal paling ketara ialah perubahan cara anak berkomunikasi.
Anak yang sebelum ini gemar bercerita tiba-tiba menjadi pendiam, menjawab sepatah dua atau mengelak perbualan dengan ibu bapa, adik-beradik dan rakan.
Keadaan ini sering disertai perubahan emosi apabila anak kelihatan kurang senyum, jarang ketawa dan wajah menjadi muram tanpa sebab yang jelas.
Selain itu, anak juga cenderung mengasingkan diri secara berterusan serta turut menunjukkan kehilangan minat terhadap perkara yang pernah disukai seperti hobi atau aktiviti fizikal, menjadi pasif serta mudah sensitif.
“Sesetengah anak tidak melawan secara terbuka, tetapi memilih untuk diam dan mengelak kerana tidak mahu berdepan atau memperlihatkan emosi marah dan kecewa mereka. Diam itu sebenarnya cara mereka melindungi diri,” jelasnya kepada Pop Family.
Corak
Perubahan corak tidur dan selera makan juga perlu diberi perhatian, sama ada tidur berlebihan, sukar tidur, hilang selera makan atau makan secara mendadak akibat tekanan emosi.
Anak yang menarik diri secara emosi lazimnya turut kurang respons terhadap kasih sayang dan berasa tidak selesa dipeluk atau disentuh.
Bagaimanapun, Dr Noor Aishah menegaskan anak yang hanya perlukan ruang biasanya akan kembali berfungsi secara emosi selepas satu atau dua hari.
Mereka masih mampu menunjukkan emosi positif dalam situasi tertentu dan tidak mengalami perubahan personaliti yang ketara.

Jika tingkah laku menarik diri ini berlarutan melebihi dua hingga tiga minggu, ia dianggap sebagai tanda amaran yang perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa.
Mengulas faktor psikologi yang menyebabkan anak semakin kurang berkongsi cerita, beliau berkata, ia sering berpunca daripada rasa takut dinilai atau dimarahi.
"Banyak anak berhenti bercerita apabila setiap perkongsian disambut dengan penghakiman, bebelan atau nada suara yang keras.
"Anak juga merasakan ibu bapa tidak benar-benar mendengar, sebaliknya lebih cenderung mengawal, menghukum atau menentukan keputusan tanpa memahami sudut pandang mereka," jelasnya.
Keadaan ini mendorong anak mencari sokongan emosi daripada rakan sebaya yang dianggap lebih memahami. Trauma akibat dimarahi secara berlebihan serta kehilangan kepercayaan terhadap ibu bapa turut boleh mencetuskan keresahan dan kemurungan jika tidak ditangani lebih awal.
Bagi memulihkan hubungan yang semakin renggang, Dr Noor Aishah menyarankan ibu bapa memulakan langkah kecil tanpa memberi tekanan.
Pendekatan terbaik ialah membina semula hubungan melalui perbualan santai dan aktiviti harian, tanpa terus menyentuh isu sensitif atau masalah. Perbualan ringan tentang sekolah, rancangan televisyen, hobi atau perkara kecil di sekeliling membantu membina kepercayaan dan rasa selamat.
Interaksi kecil dalam rutin harian juga memainkan peranan penting. Teguran ringkas, berbual di dapur, menonton televisyen bersama atau pujian kecil mampu mengekalkan hubungan emosi dan membuka ruang komunikasi.
Anak akan lebih mudah bercakap apabila merasakan emosi ibu bapa stabil dan mereka tidak dihakimi.
Memahami
Mengulas aspek komunikasi dengan anak remaja, Perunding Imej Profesional, Dr Sharifah Shawati Syed Mohd, menyifatkan cabaran membina hubungan dengan generasi hari ini semakin kompleks.

Jelasnya, ibu bapa perlu memahami cara pemikiran anak, bersikap seperti rakan tetapi tetap mengekalkan batas yang jelas sebagai ibu bapa.
“Kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, memahami perspektif anak dan dalam masa sama menjelaskan sebab kita berfikir sedemikian. Usaha merapatkan jurang antara ibu bapa dan anak sangat penting,” katanya.
