Tekanan emosi kanak-kanak semakin senyap dalam dunia digital yang sentiasa ‘hidup’, walaupun ibu bapa percaya segalanya terkawal di rumah.

Keganasan dan tragedi membabitkan kanak-kanak serta remaja yang suatu ketika dahulu hanya menjadi plot dalam filem kini semakin kerap berlaku dalam dunia nyata.

Perkembangan ini bukan sahaja mengejutkan masyarakat, malah membangkitkan persoalan besar tentang keadaan emosi dan kesihatan mental anak-anak hari ini, khususnya dalam dunia digital yang tidak pernah 'tidur'.

Di sebalik peningkatan perbincangan mengenai kesihatan mental di media sosial, dapatan kajian menunjukkan lebih separuh ibu bapa di Malaysia langsung tidak memikirkan mengenai kesejahteraan mental anak-anak mereka.

- Advertisement / Iklan -

Situasi itu menandakan wujud jurang antara realiti tekanan yang dihadapi kanak-kanak masa kini dan tahap kesedaran ibu bapa terhadap apa yang sebenarnya berlaku dalam kehidupan seharian anak mereka.

Tekanan emosi ini sering berlaku secara berlapis.
Tekanan emosi ini sering berlaku secara berlapis.

- Advertisement / Iklan -

Generasi hari ini berbeza

Menurut Jacqueline Foo, Jean Goh dan Nicole Tan, pakar psikologi klinikal kanan serta pengasas bersama We Rather Bee, dunia yang dilalui kanak-kanak dan remaja hari ini sangat berbeza berbanding generasi ibu bapa mereka.

Tekanan yang dialami tidak semestinya lebih berat, tetapi bentuknya berbeza dan sering tidak kelihatan di mata orang dewasa, khususnya apabila pendedahan berterusan kepada media sosial mendedahkan kanak-kanak kepada jangkaan dan perbandingan yang belum mampu diproses oleh kematangan emosi mereka.

Paparan rakan sebaya yang kelihatan sentiasa gembira, berjaya dan ‘sempurna’ boleh menimbulkan perasaan ketinggalan, walaupun kanak-kanak sedar kandungan tersebut telah dipilih dan disusun dengan teliti.

Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila penggunaan skrin yang berpanjangan meninggalkan ruang rehat mental yang sangat terhad.

Penglibatan digital tanpa henti bukan sahaja menjejaskan tumpuan, malah perlahan-lahan menghakis keyakinan diri.

Kanak-kanak boleh mula meragui nilai diri, berasa tidak cukup baik, tidak cukup menarik, dan akhirnya berasa sunyi walaupun dikelilingi orang ramai.

Risiko tersembunyi

Jacqueline menjelaskan bahawa tekanan emosi ini sering berlaku secara berlapis.

Selain media sosial, kanak-kanak turut berdepan buli dalam talian dan luar talian, beban akademik, kitaran berita keganasan, serta jangkaan tinggi di rumah dan sekolah.

Semua faktor ini bergabung dan membentuk tekanan mental yang sukar diungkapkan, apatah lagi untuk difahami oleh orang dewasa.

Namun yang lebih membimbangkan, walaupun ramai ibu bapa menyatakan kebimbangan terhadap kesihatan mental anak-anak, perhatian sebenar dalam kehidupan seharian masih rendah.

Keadaan itu memberi gambaran bahawa sebahagian ibu bapa mungkin hanya bertindak apabila krisis sudah berlaku, dan bukannya melakukan pemeriksaan emosi secara berkala.

"Ramai kanak-kanak memilih untuk memendam perasaan kerana bimbang mengecewakan ibu bapa atau tidak mahu mencetuskan konflik.

"Walaupun hubungan keluarga baik, ketakutan untuk disalah faham atau dihakimi menyebabkan mereka lebih selesa berdiam diri," ujarnya yang berpendapat jurang generasi dan budaya turut menyumbang kepada kesunyian emosi ini.

Dalam konteks ini, ujar beliau, pandangan ibu bapa sendiri menjadi cerminan realiti di lapangan.

Perlu perhatian

Bagi Raf Yaakob atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob berpandangan ibu bapa masa kini sebenarnya semakin peka terhadap isu kesihatan mental, terutamanya kerana topik tersebut sering dibincangkan secara terbuka di media sosial.

“Sekarang ini zaman media sosial, semua orang bercakap tentang kesihatan mental.

“Saya sendiri sangat menitikberatkan perkara ini bila melibatkan anak-anak,” katanya.

Raf Yaakob atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob
Raf Yaakob atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob

Sebagai bapa kepada lima orang anak dan merupakan adik kepada penyanyi dan cef terkenal, Datuk Fazley Yaakob itu mengakui pengalaman membesarkan anak dalam latar keluarga yang berbeza membuatkan dia lebih peka terhadap kesejahteraan emosi mereka.

Ujarnya, ibu bapa perlu memberi perhatian khusus terhadap anak-anak lelaki kerana sensitiviti emosi mereka sering dipandang ringan.

“Jangan terkejut, sensitiviti anak lelaki ini kadang-kadang lebih tinggi daripada perempuan.

“Anak perempuan biasanya matang lebih cepat, manakala anak lelaki mengambil masa untuk menyesuaikan diri,” jelasnya.