Bergelar ibu kepada remaja menuntut kefahaman yang berbeza. Bagi pelakon dan penyanyi Erra Fazira, fasa remaja anak perempuannya, Engku Aleesya Engku Emran, 16, lebih banyak berkait dengan emosi serta keperluan untuk didengari, bukan sekadar ditegur.

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek pada usia ini ibu bapa perlu bijak mengimbangi peranan sebagai kawan dan ibu. Terlalu longgar boleh mengelirukan anak, manakala terlalu mengawal pula berisiko menjauhkan komunikasi.

“Fasa remaja, kalau anak perempuan, lebih kepada emosi. Jadi kita kena tahu bagaimana untuk menjadi kawan dia dan dalam masa sama sebagai ibu, pemberi nasihat dan tempat dia boleh berkongsi,” katanya kepada Pop Family.

Walaupun hubungan mereka dilihat santai dan boleh bergurau, Primadona Filem Melayu itu menegaskan batas tetap perlu dijaga agar anak tidak keliru antara kebebasan dan tanggungjawab.

- Advertisement / Iklan -

Mohamad Ezwan Mohamad Zain, Erra Fazira bersama Engku Aleesya Engku Emran
Mohamad Ezwan Mohamad Zain, Erra Fazira bersama Engku Aleesya Engku Emran

“Saya pernah beritahu Aleesya, awak boleh jadi kawan saya, tetapi saya masih ibu awak,” ujarnya.

- Advertisement / Iklan -

Dalam soal privasi, wanita berusia 51 tahun itu berpandangan ia perlu difahami dalam konteks tanggungjawab ibu bapa.

Mengakui remaja hari ini semakin lantang mempertahankan ruang peribadi, Erra bagaimanapun menegaskan selagi anak masih di bawah penjagaan dan bersekolah, tidak semua perkara boleh diletakkan atas nama privasi.

“Bila melibatkan anak dan ibu bapa, kita harus bersama. Selagi dia di bawah penjagaan saya, memang tidak ada istilah privasi sepenuhnya.

“Kalau saya nampak dia tertekan bila ditanya, saya akan berhenti dulu. Bila keadaan sudah reda, baru saya tanya semula dengan pendekatan yang berbeza. Lebih kepada psikologi, bagaimana cara mendekati dia,” jelasnya yang melihat keperluan memberi ruang agar anak dapat belajar berdikari dan merasa dirinya dihormati sebagai individu yang semakin dewasa.

Tafsiran berbeza

Dalam masa yang sama, normal bagi ibu bapa untuk mengambil tahu mengenai aktiviti harian anak-anak. Namun, bagi sebahagian remaja, soalan ringkas seperti “kenapa pulang lewat?”, “ke mana hari ini?” atau “bersama siapa?” boleh disalah tafsir, sekali gus mencetuskan reaksi dingin, diam atau kemarahan.

Menurut Pakar Psikiatri Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Dr Mohammad Fitri Zainuddin, kebanyakan ibu bapa sebenarnya berniat baik dan hanya mahu memastikan anak berada dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun pada pandangan remaja, soalan yang kelihatan biasa itu boleh dirasakan sebagai satu bentuk kawalan atau pemeriksaan.

“Pada peringkat ini, remaja sedang membina identiti dan rasa berdikari. Ini menjadikan mereka sangat sensitif terhadap apa-apa yang ditafsir sebagai sekatan terhadap kebebasan.

“Sebagai contoh, ibu bertanya kenapa pulang lewat dengan niat mahu ambil tahu, tetapi remaja mungkin mendengarnya sebagai satu bentuk kecurigaan, seolah-olah mereka disyaki melakukan kesalahan,” jelasnya.

Sejarah komunikasi dalam keluarga turut memainkan peranan penting. Jika perbualan selama ini hanya berlaku ketika ada masalah, prestasi akademik merosot atau kesilapan dilakukan, remaja akan mengaitkan setiap pertanyaan dengan akibat tertentu.

Ruang selamat

Kebiasaannya remaja bukan hanya berdepan tekanan di rumah, tetapi turut membawa pulang tekanan dari luar. Mereka dinilai di sekolah, diperhatikan di media sosial dan terikat dengan jangkaan rakan sebaya.

Apabila rumah juga terasa sebagai ruang yang menilai, fungsinya sebagai tempat selamat untuk berehat secara emosi boleh terhakis. Dalam keadaan emosi yang masih berkembang, remaja sering sukar membezakan antara soalan neutral dan soalan yang bernada menghakimi.

Reaksi yang muncul lazimnya berupa diam, menjauh atau marah, bukan kerana degil tetapi kerana emosi mereka masih belum stabil sepenuhnya.

Jika ibu bapa mahukan perbualan yang lebih jujur, aspek keselamatan emosi perlu didahulukan. Remaja tidak akan bercakap apabila mereka merasakan diri sedang dinilai.

Pakar Psikiatri Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Dr Mohammad Fitri Zainuddin
Pakar Psikiatri Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Dr Mohammad Fitri Zainuddin

Antara pendekatan yang disarankan ialah mengubah suasana perbualan. Remaja lebih terbuka apabila ibu bapa berada di sisi, bukan berhadapan secara formal. Perbualan ketika memandu, makan bersama atau melakukan aktiviti ringan sering kali lebih berkesan berbanding sesi soal jawab yang serius.

Ayat berbentuk pemerhatian seperti “ibu perasan kamu nampak penat kebelakangan ini” memberi ruang untuk remaja berkongsi tanpa rasa terancam.

Ibu bapa juga disaran tidak tergesa-gesa mengisi ruang senyap dalam perbualan kerana bagi remaja, diam adalah ruang untuk berfikir dan menenangkan emosi.

Dr Mohammad Fitri menegaskan, pemantauan terhadap remaja tetap diperlukan dan tidak berkait dengan soal percaya atau tidak percaya, sebaliknya demi keselamatan dan tanggungjawab ibu bapa.

Sokongan yang ditunjukkan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata, memberi mesej jelas bahawa ibu bapa tetap ada walaupun anak memilih untuk menjauh buat sementara waktu.