Ibu bapa perlu minta maaf bila salah?
Dalam dunia keibubapaan hari ini, topik tentang ibu bapa meminta maaf kepada anak semakin kerap dibincangkan.
Ada yang melihatnya sebagai tanda kematangan, namun masih ramai berpendapat bahawa tindakan itu boleh menjatuhkan maruah serta melemahkan autoriti.
Hakikatnya, menurut Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-kanak CPC International, Dr Noor Aishah Rosli, permohonan maaf bukan soal kuasa, sebaliknya satu komponen penting dalam proses keretakan dan pemulihan yang membentuk hubungan sihat antara ibu bapa dan anak.
Jelasnya, konflik antara ibu bapa dan anak ialah perkara biasa tetapi bagaimana konflik itu diperbaiki yang menentukan kekuatan hubungan mereka.

"Apabila ibu bapa meminta maaf, itu bukan merendahkan diri. Ia memberi contoh bahawa semua manusia buat silap dan kita belajar memperbaiki.
Kita sebenarnya mengajar empati dan mengajar anak belajar mengawal emosi,” katanya.
Melalui pemerhatian, anak dapat melihat bagaimana orang dewasa menguruskan kesilapan tanpa panik dan tanpa bersikap defensif.
Kesan jangka panjangnya jauh lebih besar kerana anak memahami bahawa kesilapan bukan penamat; ia boleh diperbaiki.
Namun Dr Aishah mengakui ada sebab mengapa sesetengah ibu bapa sukar meminta maaf.
Antaranya, didikan generasi lama banyak mengajar bahawa memohon maaf menjejaskan autoriti.
Ramai yang bimbang anak tidak lagi menghormati mereka atau akan 'naik kepala'. Ada juga yang tidak biasa kerana ibu bapa terdahulu tidak menunjukkan model permohonan maaf.
“Apabila ibu bapa tidak pernah mengaku salah, anak akan fikir mengaku salah ialah kelemahan. Dia pun membesar dengan kepercayaan bahawa meminta maaf itu berat,” jelasnya.

Sesuai usia
Dalam membina budaya komunikasi sihat di rumah, permohonan maaf sebenarnya memainkan peranan penting. Ia mewujudkan persekitaran emosi yang selamat, meningkatkan keyakinan anak untuk meluahkan perasaan dan mengakui kesilapan.
Komunikasi dua hala yang matang ini juga mengajar problem solving, bukan sekadar menyalahkan.
“Kita didik anak untuk melihat sebab dan akibat. Kita jelaskan emosi, kita bincang. Itu cara membina keluarga yang bertolak ansur dan berempati,” tambahnya.
Dari aspek praktikal, bentuk permohonan maaf perlu disesuaikan dengan usia anak.
Bagi anak kecil, bahasa mudah dan nada lembut sudah memadai. Jika anak sekolah rendah, penjelasan tentang salah faham serta kesannya membantu mereka memahami konteks.
Sementara untuk remaja, perbincangan dua hala lebih efektif, kerana mereka memerlukan ruang untuk bersuara dan difahami.
“Kita bukan hilang autoriti. Kita menunjukkan kematangan,” katanya.
Namun Dr Aishah mengingatkan supaya membezakan antara permohonan maaf sihat dan meminta maaf secara berlebihan.
Ibu bapa perlu mengakui kesilapan tanpa merendahkan diri, dan tidak meminta maaf untuk perkara yang sebenarnya tanggungjawab anak. Jika terlalu kerap memohon maaf tanpa sebab, boundaries akan kabur dan anak mungkin mula mengambil kesempatan.

Autoriti
Penyanyi Nourul Depp turut berkongsi pandangan selari daripada perspektif seorang ibu.
Jelas wanita berusia 48 tahun itu, meminta maaf kepada anak tidak pernah menjatuhkan autoriti.
“Dalam Islam pun dianjurkan, kita ibu bapa pun manusia. Kalau kita buat salah, memang kena minta maaf,” ujarnya.
Bagi ibu kepada empat orang cahaya mata itu pendekatan tersebut bukan tentang ego, tetapi tentang menunjukkan contoh yang konsisten.
“Kalau dengan kawan kita boleh minta maaf, kenapa tidak dengan anak?” soalnya sambil menekankan bahawa permohonan maaf tidak perlu berlebihan. Apa yang penting, mesej sampai.
