Bila anak selalu dibandingkan
“Kamu hari itu SPM dapat berapa A? Nak sambung belajar mana? Anak mak cik dapat semua A, dia nak jadi doktor...”
“Awak tengok anak Pak Long tu, kerja besar, pakai kereta mewah. Awak patut contohi dia...”
Pernah lalui situasi seperti ini? Sering dibanding-bandingkan dengan adik-beradik, sepupu atau mungkin jiran terdekat.
Perkara itu mungkin nampak kecil bagi segelintir orang, namun tanpa disedari ia boleh meninggalkan micro trauma kepada individu yang melaluinya.
Menurut Doktor Pakar Perunding Psikiatri dari KPJ Pahang Specialist Hospital, Dr Ahmad Nabil Md Rosli, dalam psikologi perkembangan kanak-kanak, identiti dan keyakinan diri sebenarnya sedang dibina sedikit demi sedikit melalui pengalaman harian mereka.
Justeru, perkara yang kelihatan kecil bagi orang dewasa kadangkala memberi kesan yang lebih besar kepada emosi anak.
“Apabila seorang anak sering mendengar ayat seperti ‘Tengok sepupu kamu pandai’ atau ‘Kenapa tak boleh jadi macam abang’, mesej yang sampai kepada mereka bukan sekadar dorongan untuk menjadi lebih baik.
“Sebaliknya mereka boleh mentafsirnya sebagai ‘Saya tidak cukup baik’,” jelasnya kepada Pop Family.
Tambah beliau, jika perkara tersebut berlaku sekali-sekala mungkin tidak memberi kesan besar. Namun apabila ia berlaku secara berulang, perbandingan itu boleh menjejaskan harga diri kanak-kanak.
“Lama-kelamaan mereka mungkin mula melihat diri sendiri sebagai kurang berharga berbanding orang lain. Mereka juga boleh menjadi lebih sensitif terhadap kritikan atau penolakan.
“Perkara kecil seperti teguran guru atau komen rakan boleh dirasakan sangat menyakitkan kerana mereka sudah terbiasa merasakan diri tidak cukup baik,” katanya.

Micro trauma
Dalam bidang psikologi, istilah micro trauma semakin sering dibincangkan apabila menyentuh tentang pengalaman emosi yang kelihatan kecil tetapi berlaku berulang kali.
Dr Ahmad Nabil berkata, micro trauma merujuk kepada pengalaman emosi yang mungkin nampak biasa, namun apabila berlaku secara berterusan ia boleh memberi kesan kepada kesejahteraan emosi seseorang.
“Ia bukan trauma besar seperti kemalangan atau penderaan. Sebaliknya ia lebih halus dan sering berlaku dalam interaksi harian seperti dimarahi dengan cara memalukan, dibandingkan dengan orang lain, tidak didengar apabila meluahkan perasaan atau sering dipandang rendah,” katanya.
Menurut beliau, setiap pengalaman itu mungkin kelihatan kecil jika berlaku sekali. Namun apabila ia berlaku berkali-kali sepanjang tempoh perkembangan kanak-kanak, ia boleh mempengaruhi cara mereka melihat diri sendiri dan dunia sekeliling.
Antara situasi yang sering berlaku dalam keluarga ialah apabila anak ditegur dengan cara yang memalukan di hadapan orang lain.
“Contohnya apabila ibu bapa menegur dengan nada merendahkan seperti ‘Malunya perangai awak ni’ di hadapan tetamu atau saudara mara. Bagi kanak-kanak, situasi seperti ini boleh membuatkan mereka merasa kecil atau tidak dihargai,” ujarnya.
Belajar hargai potensi anak
Penyanyi muda Marsya Qistina yang juga anak kepada penyanyi Liza Hanim, turut berkongsi pandangannya mengenai isu perbandingan yang sering berlaku dalam kalangan anak-anak.

Ujarnya, setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri dan tidak wajar seseorang anak dinilai hanya berdasarkan satu perkara.
“Kalau kita bandingkan dari segi akademik, mungkin ada orang yang lebih bagus tetapi mungkin juga mereka ada kemahiran lain yang kita tidak nampak.
“Jadi jangan merendahkan anak sendiri hanya kerana satu perkara. Kita tidak tahu potensi sebenar mereka pada masa depan,” ujarnya.
Tambah Marsya, mereka yang sering dibandingkan juga perlu mencari cara yang sihat untuk meluahkan emosi mereka.
“Jika masih muda dan boleh bercakap dengan ibu bapa, cubalah beritahu perasaan itu dengan cara yang baik.
“Kalau tidak, cari ruang lain untuk meluahkan perasaan kerana jika dipendam terlalu lama, ia boleh memberi kesan kepada diri sendiri.
“Apa yang penting, jangan fikir orang lain lebih hebat bermakna kita tidak hebat. Setiap orang ada kekuatan masing-masing,” katanya.
