Ibu bapa atau ‘best friend’? Garis halus yang ramai tersilap langkah
Keinginan untuk menjadi ibu bapa yang rapat dan mudah didekati semakin ketara dalam gaya keibubapaan moden hari ini.
Ramai berasa bangga apabila anak menganggap mereka sebagai “kawan baik”, tempat berkongsi rahsia dan cerita tanpa rasa takut.
Namun persoalannya, adakah menjadi kawan sudah mencukupi?
Menurut Pakar Psikiatri Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam, Dr Mohammad Fitri Zainuddin, keseimbangan antara kemesraan dan ketegasan merupakan asas yang paling sihat dalam perkembangan emosi anak.
Beliau menekankan konsep authoritative parenting atau keibubapaan berwibawa yang diperkenalkan oleh ahli psikologi Diana Baumrind.
Pendekatan tersebut menggabungkan dua elemen utama iaitu kepekaan emosi dan tuntutan disiplin yang konsisten. Ibu bapa boleh bersikap mesra, tetapi bukan menjadi rakan sebaya.
“Tanggungjawab kita bukan sekadar menjaga hati anak, tetapi memastikan keselamatan dan masa depan mereka,” jelasnya kepada Pop Family.
Dalam situasi harian, ibu bapa boleh menyokong minat anak untuk keluar bersama rakan atau menyertai aktiviti tertentu, namun tetap menetapkan syarat jelas demi keselamatan. Perbincangan dibenarkan, tetapi keputusan akhir kekal di tangan ibu bapa sebagai ketua keluarga.
Uji sempadan
Beliau turut mengingatkan tentang risiko pendekatan terlalu santai atau permissive parenting. Apabila ibu bapa terlalu takut berkata tidak kerana bimbang anak merajuk atau menjauh, struktur yang diperlukan oleh anak mula longgar.
Secara psikologi, kanak-kanak dan remaja akan menguji sempadan untuk melihat sejauh mana ‘dinding pelindung’ mereka kukuh.
Jika ibu bapa sering beralah, anak boleh membesar dengan rasa tidak selamat dan sukar membina kawalan diri. Tanpa disiplin yang konsisten, mereka mungkin berdepan kesukaran mengurus emosi, mengawal impuls dan memikul tanggungjawab apabila melangkah ke alam dewasa.

Dr Fitri turut menekankan konsep “connection before correction”, iaitu membina hubungan sebelum membuat pembetulan. Pendekatan ini menuntut ibu bapa untuk mengutamakan kepercayaan dan keselamatan emosi sebelum memberi teguran.
Dalam banyak situasi, ibu bapa cenderung untuk terus menegur atau menghukum apabila anak melakukan kesilapan. Namun dari sudut psikologi perkembangan, tindakan tersebut boleh menyebabkan anak lebih fokus kepada rasa bersalah atau takut, berbanding memahami punca sebenar kesilapan.
“Kita selalu terbalik. Anak buat salah, kita terus betulkan tanpa faham apa yang berlaku dalam emosi mereka. Sedangkan anak perlu rasa difahami dahulu sebelum mereka bersedia menerima teguran,” katanya.
Tambahnya lagi, apabila anak merasakan ibu bapa benar-benar mendengar tanpa prejudis, mereka lebih cenderung untuk terbuka dan bekerjasama dalam mencari penyelesaian.
“Apabila anak rasa didengari, barulah mereka boleh menerima disiplin dengan lebih matang. Jika tidak, mereka hanya melihat ibu bapa sebagai pihak yang menghukum,” ujarnya.
Jadi sahabat
Sementara itu, penerbit filem dan muzik, Datuk Ahmad Izham Omar melihat pendekatan persahabatan sebagai jambatan penting dalam membina kepercayaan dua hala antara ibu bapa dan anak.
Ujarnya, hubungan yang sihat memerlukan keseimbangan agar anak tidak berasa terlalu dikongkong atau dimanjakan sehingga hilang arah.

“Kalau terlalu keras dia lari, kalau baik sangat mereka sangat bergantung kepada anda. Jadi jadilah rakan mereka. Seorang rakan yang memberitahu mereka kebenaran,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa kepercayaan perlu dibina secara bersama. Apabila ibu bapa mempercayai anak, anak juga akan lebih cenderung untuk mempercayai ibu bapa dan berkongsi masalah yang dihadapi.
Dalam usaha merapatkan hubungan, Izham percaya masa berkualiti memainkan peranan penting. Baginya, perbualan yang bermakna tidak semestinya berlaku dalam suasana formal atau ketika memberi nasihat panjang.
“Mari kita meluangkan masa di suatu tempat. Mari kita minum kopi. Mari kita bersantai di mana-mana. Mari kita bermain permainan bersama. Mari kita bermain rounders. Mari kita pergi berenang.
"Pada ketika itu, kita boleh bercakap secara perlahan-lahan tentang isu-isu yang mereka hadapi,” jelasnya.
