Di sebalik kemajuan teknologi perubatan moden, tuberkulosis atau tibi masih kekal sebagai ancaman kesihatan global yang tidak boleh dipandang ringan. Penyakit berjangkit yang menyerang paru-paru ini merebak melalui udara, namun masih boleh dicegah dan dirawat jika dikesan pada peringkat awal.

Di Malaysia, peningkatan kes tibi dalam beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan, sekali gus menuntut pendekatan lebih menyeluruh melibatkan teknologi, rawatan berdisiplin serta kesedaran masyarakat.

Pakar Perunding Pulmonologi Intervensi dan Perubatan Dalaman di Sunway Medical Centre, Sunway City, Dr Rosmadi Ismail, menjelaskan bahawa negara ini menggunakan pelbagai kaedah diagnosis bagi memastikan pengesanan tepat dan cepat.

Antaranya termasuk mikroskopi smear, ujian kultur serta ujian penguatan asid nukleik, selain radiografi dada dan Ujian Kulit Tuberkulin bagi mengesahkan jangkitan.

- Advertisement / Iklan -

Bidang diagnosis tibi kini bergerak ke arah inovasi baharu. Penyelidikan melibatkan teknologi biosensing, nano-diagnostik serta pengesanan berbantu komputer melalui kecerdasan buatan dilihat berpotensi merevolusikan proses pengesanan pada masa depan.

Kesedaran masyarakat, pematuhan rawatan dan kerjasama pelbagai pihak menjadi asas penting bagi memastikan penyakit ini dapat dikawal secara berkesan.
Kesedaran masyarakat, pematuhan rawatan dan kerjasama pelbagai pihak menjadi asas penting bagi memastikan penyakit ini dapat dikawal secara berkesan.

- Advertisement / Iklan -

Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan diagnosis, tetapi juga meningkatkan ketepatan rawatan.

Dari sudut rawatan, Malaysia mengikuti garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dengan penggunaan kombinasi empat ubat utama selama enam hingga lapan bulan bagi tibi sensitif ubat.

Strategi Directly Observed Treatment, di mana pesakit dipantau oleh petugas kesihatan, memainkan peranan penting memastikan rawatan diambil secara konsisten.

Walaupun belum ada terapi baharu yang menunjukkan keberkesanan lebih tinggi, pendekatan khusus bagi tibi tahan ubat melibatkan rejimen berbeza serta tempoh rawatan lebih panjang.

Kaedah ini terbukti membantu pesakit mendapatkan rawatan lebih komprehensif walaupun dalam kes rintang ubat.

Selain rawatan, langkah pencegahan kekal menjadi benteng utama. Mengelakkan tempat sesak yang kurang pengudaraan, mendapatkan pemeriksaan awal apabila mengalami simptom seperti batuk berpanjangan atau penurunan berat badan, serta memakai pelitup muka ketika sakit merupakan antara langkah mudah yang mampu mengurangkan risiko penularan.

Vaksin Bacillus Calmette Guérin masih digunakan bagi memberi perlindungan separa kepada bayi dan kanak-kanak kecil daripada bentuk tibi yang teruk, sementara penyelidikan terhadap vaksin baharu untuk remaja dan dewasa terus dijalankan.

Perjuangan menentang tibi bukan hanya terletak pada teknologi atau ubat-ubatan semata-mata. Kesedaran masyarakat, pematuhan rawatan dan kerjasama pelbagai pihak menjadi asas penting bagi memastikan penyakit ini dapat dikawal secara berkesan.