Cinta tanpa sempadan, budaya jadi jambatan
Siapa sangka, pertemuan pada awalnya sekadar kebetulan akhirnya membawa kepada sebuah perjalanan hidup yang menyatukan dua budaya berbeza.
Bermula dengan perkenalan ringkas di ibu kota sekitar pertengahan 1990-an, pereka fesyen dan pemilik jenama Batek by Rasta Rashid iaitu Rastawati Dewi Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Rasta Rashid, tidak pernah menyangka langkah kecil itu bakal membuka lembaran baharu dalam hidupnya sebagai isteri dan ibu dalam keluarga perkahwinan campur.
Sempena Tahun Baharu Cina ini, Pop Family mendekati anak kelahiran Kuantan, Pahang itu bagi menyelami pengalaman sebenar membina rumah tangga dalam perkahwinan campur, sekali gus memahami bagaimana perbezaan budaya, agama dan latar keluarga dapat diraikan dalam suasana penuh harmoni.
Berkongsi lebih lanjut, Rasta berkata, perjalanan cintanya bermula sekitar 1994 apabila beliau diperkenalkan kepada pasangan hidup, Kevin Poi melalui seorang rakan sekerja ketika bekerja di Kuala Lumpur.
Hubungan yang pada awalnya sekadar kawan berkembang selama tujuh tahun sebelum mereka mendirikan rumah tangga pada 2001 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Farah Natasha Poi, 23, dan Hannah Sara Poi, 19.

Mengimbas detik membuat keputusan untuk berkahwin campur, beliau mengakui restu keluarga menjadi kekuatan utama.
“Berbeza budaya bukanlah penghalang sesebuah perkahwinan, tetapi rasa hormat di antara satu sama lain adalah elemen yang perlu ada bagi menjaga keharmonian dua buah keluarga,” katanya.
Tambah wanita berusia 52 tahun itu, perkahwinan campur banyak mengajar tentang toleransi dan empati, terutama dalam memahami perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengikut budaya serta agama masing-masing.
Cabaran
Dalam realiti kehidupan, cabaran tetap ada terutama pada peringkat awal perkahwinan. Perbezaan budaya dan penyediaan makanan sering menjadi perkara yang perlu diurus dengan teliti. Namun beliau bersyukur kerana keluarga mertua menghormati keperluan halal, malah makanan sentiasa diasingkan ketika berkumpul.
“Jangan cuba perbaiki, tetapi cuba fahami mereka. Cara berinteraksi juga perlu lembut dan penuh pertimbangan.
“Apa yang menjadi sedikit sukar apabila makan di luar kerana perlu memastikan restoran sediakan makanan halal. Bila dah lama mereka pun biasa dengan hidangan yang saya sediakan, terutama ketika perayaan,” ujarnya.

Dari sudut adaptasi harian, bahasa bukan penghalang kerana beliau dan pasangan fasih berbahasa Melayu serta Inggeris.
Hubungan dengan keluarga mertua yang beragama Katolik juga berjalan baik kerana masing-masing memilih pendekatan saling menghormati.
Tinggal bersama
Antara tradisi keluarga suami yang kini menjadi kebiasaan termasuk malam makan besar, menghias rumah dengan warna ceria serta pemberian angpau sebagai simbol kemakmuran.
Selepas pemergian bapa mertua sedekad lalu, beliau mengambil tanggungjawab membawa ibu mertua, Kok Kee Yin tinggal bersama dan memastikan sambutan Tahun Baharu Cina tetap diraikan secara sederhana sebagai tanda hormat.
“Raikan budaya selagi tidak bertentangan dengan agama. Anak-anak saya juga perlu tahu budaya keturunan datuk nenek mereka,” jelasnya.
Sebagai ibu kepada anak kacukan Cina, beliau melihat kepelbagaian perayaan sebagai peluang mendidik generasi muda mengenali identiti keluarga dari dua sisi.

Mengenakan cheongsam, menyediakan limau mandarin dan kuih-muih tradisi menjadi antara cara memperkenalkan budaya dengan penuh hormat tanpa melanggar batas agama.
Di sebalik cabaran yang sering dibincangkan, beliau melihat sisi indah perkahwinan campur pada kebebasan menjadi diri sendiri serta sokongan pasangan yang berfikiran terbuka terhadap kerjaya dan kehidupan harian.
“Adakalanya sesama agama dan bangsa juga ada cabarannya, inikan pula berbeza budaya. Sikap hormat menghormati dan toleransi yang kuat sangat penting,” katanya lagi.
Bagi beliau, komunikasi yang jujur dan empati menjadi kunci jangka panjang dalam membina keluarga yang seimbang.
