5 tanda stres tersembunyi yang ramai tidak sedar
Kita semua pernah melalui hari yang terasa berat. Kadang-kadang kerana kerja, keluarga atau perkara kecil yang terkumpul tanpa disedari. Stres sebenarnya reaksi semula jadi manusia apabila berdepan cabaran, tetapi masalahnya, ia tidak selalu muncul dalam bentuk yang jelas. Ada masanya, badan dan emosi memberi isyarat halus yang mudah kita abaikan.
Menurut pakar psikologi bertauliah yang berpangkalan di London, Dr Sheena Kumar, stres boleh memberi kesan kepada tubuh secara fizikal dan mental walaupun seseorang tidak menyedarinya. Berikut lima tanda tersembunyi yang wajar diberi perhatian sebelum ia menjadi lebih serius.
1. Sakit badan tanpa sebab jelas

Jika kerap mengalami sakit kepala, lenguh belakang atau masalah perut tanpa punca tertentu, ia mungkin berkait dengan stres. Apabila tubuh berada dalam keadaan berjaga-jaga, hormon stres boleh menegangkan otot dan meningkatkan sensitiviti terhadap kesakitan. Kadangkala, badan sebenarnya sedang “menyimpan” tekanan yang belum disedari.
2. Mudah marah atau cepat melenting

Pernah terasa cepat tersentap walaupun perkara kecil? Stres boleh membuatkan sistem emosi menjadi lebih reaktif. Otak menjadi lebih sensitif terhadap ancaman, menyebabkan kita hilang sabar lebih cepat daripada biasa. Ia bukan semestinya perubahan personaliti, tetapi tanda emosi sedang terbeban.
3. Gangguan tidur

Sukar tidur, kerap terjaga atau mimpi yang terlalu jelas juga boleh menjadi petanda stres. Hormon kortisol yang meningkat boleh mengganggu kitaran tidur normal. Amalan mudah seperti mengurangkan penggunaan telefon sebelum tidur atau mencipta rutin relaksasi boleh membantu tubuh kembali tenang.
4. Masalah penghadaman

Hubungan antara otak dan perut sangat rapat. Stres boleh menyebabkan loya, kembung atau perubahan sistem penghadaman walaupun pemakanan tidak berubah. Jika perut kerap tidak selesa tanpa sebab jelas, mungkin ada emosi yang belum diberi ruang untuk diproses.
5. Sukar fokus atau ‘brain fog’

Rasa mudah lupa, susah membaca atau hilang tumpuan ketika bekerja mungkin bukan sekadar penat. Stres kronik boleh menjejaskan bahagian otak yang mengawal fokus dan memori. Bila minda terlalu penuh, ia menjadi sukar untuk berfikir dengan jelas.
Hakikatnya, stres bukan musuh yang perlu dielakkan sepenuhnya. Ia sebahagian daripada kehidupan. Namun, mendengar isyarat kecil daripada tubuh dan emosi boleh membantu kita memahami diri dengan lebih baik. Kadangkala, berehat seketika, bercakap dengan seseorang yang dipercayai atau meluangkan masa untuk diri sendiri sudah cukup untuk mengurangkan beban yang dipikul.
