Setiap kali tahun baharu menjelma, ramai rata-rata mula menyenaraikan azam peribadi. Ada yang mahu memberi tumpuan kepada kerjaya, kesihatan atau kewangan.

Namun tanpa disedari, perbincangan tentang hala tuju keluarga sering terpinggir, sedangkan ia memberi kesan besar kepada emosi dan perkembangan anak.

Menurut Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Asst Prof Dr Hijaz Ridzwan, anak memerlukan struktur emosi yang stabil dan konsisten untuk membesar dengan sihat.

“Apabila keluarga tidak mempunyai matlamat bersama, anak mungkin membesar dalam persekitaran yang berfungsi secara fizikal, tetapi kosong dari segi emosi.

- Advertisement / Iklan -

"Mereka tidak jelas tentang nilai keluarga, keutamaan hidup dan bagaimana cabaran perlu dihadapi bersama,” jelasnya.

 Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Asst Prof Dr Hijaz Ridzwan
Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Asst Prof Dr Hijaz Ridzwan

- Advertisement / Iklan -

Keadaan itu, katanya, boleh mendorong anak berasa terasing secara emosi, kurang keyakinan diri dan cenderung mencari pengiktirafan di luar rumah, termasuk melalui rakan sebaya atau media sosial.

Dalam dunia hari ini yang semakin mencabar emosi remaja, Dr Hijaz menegaskan bahawa penetapan ‘family goals’ bukan sekadar perancangan tahunan, sebaliknya berfungsi sebagai faktor perlindungan kesihatan mental.

“Apabila remaja tahu keluarga mempunyai hala tuju bersama, ia meningkatkan daya tahan mental mereka. Mereka sedar tidak berdepan tekanan hidup secara bersendirian,” katanya.

Bagaimanapun resolusi keluarga juga perlu ditetapkan dengan pendekatan yang betul agar tidak menjadi beban psikologi.

Dr Hijaz menekankan kepentingan kebersamaan dan empati, khususnya apabila melibatkan remaja yang sedang mencari identiti diri.

“Ibu bapa tidak boleh menetapkan sasaran secara autokratik. Perlu ada perbincangan, mendengar pandangan anak dan sasaran yang realistik serta fleksibel. Konsep ‘meeting in the middle’ membantu anak berasa dihargai,” katanya.

Tekanan emosi, jelasnya, timbul apabila anak merasakan kasih sayang ibu bapa bergantung sepenuhnya kepada pencapaian.

Sebaliknya, apabila resolusi dilihat sebagai usaha kolektif, ia menjadi pemangkin perkembangan emosi, bukan tekanan.

Hisyam bersama anaknya Nurish Syameliah, 19, dan Haydeen, 17.
Hisyam bersama anaknya Nurish Syameliah, 19, dan Haydeen, 17.

Selari

Pandangan itu selari dengan pengalaman pelakon dan bapa kepada dua anak remaja, Hisyam Hamid, yang melihat resolusi tahun baharu sebagai ruang untuk membina hubungan dan nilai dalam keluarga, bukan sekadar mengejar pencapaian peribadi.

“Sebagai seorang bapa, saya rasa penting untuk kita sentiasa berdiskusi dengan anak. Itu yang saya praktikkan,” katanya.

Jelas aktor berusia 40 tahun itu, setiap perubahan fasa dalam kehidupan anak menjadi peluang untuk berbincang tentang hala tuju.

Sebagai contoh, apabila anaknya tamat sekolah menengah, perbincangan dibuat secara santai di meja makan.

“Kami bincang apa langkah seterusnya, apa yang dia sasarkan, apa minat dia. Dari situ, kita tetapkan sebagai resolusi juga sebab ia melibatkan tahun baharu, sekolah baharu dan persekitaran baharu,” ujarnya lagi

Hisyam turut berkongsi bahawa amalan menetapkan sasaran bukan perkara asing buat dirinya. Sejak bekerja sebagai anggota bomba, dia membiasakan diri menetapkan matlamat awal dan meletakkannya sebagai peringatan harian.

“Penting untuk kita tahu arah tuju, apa yang kita mahu capai. Perkara itu saya terapkan kepada anak-anak supaya mereka ada sasaran, tahu apa yang mereka mahu buat, dan kita lihat semula di penghujung tahun sama ada ia tercapai atau tidak,” katanya.

Walaupun tinggal berjauhan dengan anak-anaknya yang menetap di Singapura, Hisyam berkata hubungan kekeluargaan tetap dipelihara melalui perancangan yang disengajakan.

“Sejak tiga tahun lepas, saya pastikan setiap tahun kami akan bercuti bersama sekurang-kurangnya sekali. Itu masa untuk kami bertiga sahaja.

“Kualiti masa bersama sangat penting. Anak-anak pun suka, terutama anak sulung saya yang memang gemar melancong. Secara tidak langsung, hubungan kami jadi lebih rapat,” jelasnya.

Komunikasi

Seiring pandangan Hisyam, Dr Hijaz menegaskan bahawa jika ibu bapa hanya mampu memberi tumpuan kepada satu resolusi keluarga sahaja, ia seharusnya melibatkan pembinaan komunikasi emosi yang selamat dan terbuka.

“Anak perlu tahu mereka boleh bercakap tanpa dihakimi, dipersendakan atau dimarahi. Ini memberi kesan jangka panjang yang besar terhadap kesejahteraan mental mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan.