"Jangan masuk campur", pesan Sharnaaz Ahmad kepada datuk dan nenek
Dalam sesebuah keluarga, peranan datuk dan nenek sering menjadi pelengkap kepada proses membesarkan anak. Ada yang menjadi tempat ibu bapa meminta nasihat, tidak kurang juga yang banyak membantu menjaga cucu ketika ibu bapa bekerja.
Namun, sejauh mana campur tangan itu dianggap membantu, dan bilakah ia boleh menjadi sesuatu yang mengganggu?
Bagi pelakon Sharnaaz Ahmad, beliau berpendapat setiap ibu bapa perlu diberi ruang untuk menguruskan sendiri hal berkaitan anak mereka tanpa campur tangan daripada orang lain, termasuk datuk dan nenek.
"Patut ke nenek campur tangan hal cucu? Oh sangat tak patutlah. Mak ayah ataupun datuk nenek kepada anak itu saya sarankan apa jadi sekalipun tolong jauhkan diri anda daripada cucu itu.
"Walau apa jadi sekalipun jangan masuk campur.
"Kecuali menantu anda pukul anak awak. Itu anda ada peluang anda (untuk masuk campur). Tetapi kalau pasal cucu tu bukan masalah awak," katanya kepada Pop Family.
Menurut Sharnaaz, pengecualian hanya wajar sekiranya berlaku perkara yang boleh mengancam keselamatan atau kebajikan anak.
Dalam masa sama, Sharnaaz turut berkongsi pandangannya mengenai co-parenting, khususnya apabila ibu bapa tidak lagi hidup bersama.
Katanya, perkara paling penting dalam menjayakan co-parenting ialah kesediaan kedua-dua pihak untuk mengetepikan ego dan sentiasa meletakkan anak sebagai keutamaan.
"Kena buang ego. Tak kisah lelaki ataupun perempuan kena buang ego. Tak salah kalau mengalah dulu.
"Kalau perempuan tu tak nak mengalah, lelaki mengalahlah dulu. Sebab matlamat dia satu benda saja - anak. Bukannya awak. Bukannya isteri itu.
"Sebab yang bekas pasangan awak itu ada hak untuk cari yang lain. Awak pun ada hak. Jadi kalau dia masih mengganggu hidup awak itu, itu bukan jadi co-parenting tu masalahnya. Itu masalah peribadi," tegasnya.
