Mengapa semakin ramai golongan muda berdepan kanser usus? Ini penjelasan pakar
Ramai menganggap kanser usus hanya berlaku apabila usia semakin meningkat. Namun, realitinya semakin ramai individu berumur 20 hingga 40 tahun kini didiagnosis dengan kanser kolorektal. Apakah yang mendorong peningkatan ini?
Menurut Pakar Bedah Kolorektal Hospital Picaso, Datuk Dr Luqman Mazlan, perubahan gaya hidup menjadi antara faktor yang tidak boleh dipandang ringan.
Walaupun majoriti pesakit masih berusia lebih 60 tahun, beliau berkata trend peningkatan dalam kalangan golongan muda kini semakin ketara.

"Dulu lebih sering berlaku pada golongan yang berumur. Tetapi sekarang kita nampak pesakit-pesakit daripada golongan muda.
"Majoriti masih berumur lebih daripada 60 tahun, lebih kurang 60 hingga 70 peratus. Tetapi sekarang kita nampak golongan berumur 20-an, 30-an dan 40-an yang ada kanser ini," katanya menerusi temu bual bersama Awani.

Ujarnya lagi, pemakanan yang tinggi makanan berproses, kurang aktiviti fizikal, tekanan hidup serta obesiti antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada peningkatan kes.
"Golongan muda sekarang banyak stres, kurang bersenam dan pemakanan juga sudah berubah. Banyak makanan berproses seperti burger dan sosej, selain kurang mengambil sayur-sayuran."
Tambah beliau, obesiti turut mempunyai kaitan rapat dengan kanser kolorektal.
"Kita tahu di Malaysia sebenarnya, kita adalah antara penduduk yang paling gemuk di Asia Tenggara. Jadi kita tengok trend kanser kolorektal itu semakin meningkat disebabkan faktor-faktor gaya hidup inilah."

Peningkatan kes ini menjadi peringatan bahawa kanser usus bukan lagi isu yang hanya perlu diberi perhatian apabila usia meningkat.
Sebaliknya, menjaga pemakanan, kekal aktif dan mendapatkan pemeriksaan awal jika mengalami simptom yang berpanjangan merupakan antara langkah penting untuk menjaga kesihatan usus.
