Hantavirus kembali menjadi perhatian dunia selepas beberapa kes dikesan dalam kalangan penumpang kapal persiaran MV Hondius termasuk seorang wanita Belanda yang meninggal dunia akibat jangkitan itu.

Kes tersebut turut mencetuskan kebimbangan apabila pihak kesihatan mengesahkan dua penumpang dijangkiti strain Andes hantavirus yang dipercayai boleh merebak daripada manusia kepada manusia walaupun sangat jarang berlaku.

Secara asasnya, hantavirus bukan satu penyakit tunggal tetapi keluarga virus yang kebanyakannya dikaitkan dengan tikus.

Virus itu biasanya merebak melalui air kencing, najis atau air liur tikus yang telah kering sebelum bercampur di udara dan disedut manusia.

- Advertisement / Iklan -

Dalam kebanyakan kes, jangkitan berlaku apabila seseorang berada di kawasan tercemar seperti stor, gudang atau lokasi yang mempunyai kehadiran tikus.

Bot ambulans menghampiri kapal persiaran MV Hondius yang sedang berlabuh di luar Pelabuhan Praia, ibu negara Cape Verde susulan jangkitan hantavirus. Foto:AFP
Bot ambulans menghampiri kapal persiaran MV Hondius yang sedang berlabuh di luar Pelabuhan Praia, ibu negara Cape Verde susulan jangkitan hantavirus. Foto:AFP

- Advertisement / Iklan -

Walaupun kebanyakan strain hantavirus tidak merebak sesama manusia, strain Andes yang lazim ditemui di Argentina dan Chile mempunyai kemungkinan penularan melalui hubungan sangat rapat dan berpanjangan dengan individu bergejala.

Antara simptom awal hantavirus termasuk demam, sakit otot, keletihan melampau, pening kepala, menggigil dan sakit perut.

Namun dalam keadaan lebih serius, pesakit boleh mengalami kesukaran bernafas akibat Sindrom Pulmonari Hantavirus (HPS), iaitu komplikasi yang menyerang paru-paru dan boleh membawa maut.

Artikel Berkaitan:

Antara simptom awal hantavirus termasuk demam, sakit otot, keletihan melampau, pening kepala, menggigil dan sakit perut.
Antara simptom awal hantavirus termasuk demam, sakit otot, keletihan melampau, pening kepala, menggigil dan sakit perut.

Pakar turut menjelaskan tempoh inkubasi virus itu boleh mengambil masa antara satu hingga lapan minggu sebelum simptom muncul, sekali gus menyukarkan proses pengesanan awal.

Setakat ini, tiada vaksin atau rawatan khusus untuk hantavirus, namun rawatan perubatan awal seperti terapi oksigen dan rawatan intensif mampu membantu meningkatkan peluang pesakit untuk sembuh.

Walaupun kes yang berlaku di atas kapal persiaran itu menimbulkan kebimbangan, pakar kesihatan global menegaskan risiko penularan kepada orang ramai masih rendah dan tiada bukti virus tersebut telah merebak secara meluas di luar kapal terbabit.

Orang ramai bagaimanapun dinasihatkan untuk terus menjaga kebersihan persekitaran serta mengelakkan pendedahan kepada kawasan yang berisiko mempunyai najis atau air kencing tikus.