Kecanggihan teknologi masa kini membuka lebih banyak ruang kepada ibu bapa untuk meneroka pelbagai pendekatan dalam membesarkan anak-anak.

Jika suatu ketika dahulu, ibu bapa lebih cenderung menjadikan cara didikan generasi terdahulu sebagai panduan, namun hari ini segalanya berubah.

Dengan lambakan maklumat di hujung jari, konsep seperti “gentle parenting” mula mendapat tempat, sekali gus mencetuskan persoalan tentang keberkesanannya berbanding pendekatan tradisional Asia yang lebih tegas.

Dalam peralihan ini, ramai ibu bapa mula mencari titik tengah dengan menyesuaikan cara didikan mengikut keperluan anak dan situasi semasa.

- Advertisement / Iklan -

Bagi penyanyi terkenal, Liza Hanim, kedua-dua pendekatan itu bukan untuk dipertentangkan, sebaliknya perlu digabungkan secara seimbang.

Marsya tidak menafikan lebih terbuka dengan ibunya kini.
Marsya tidak menafikan lebih terbuka dengan ibunya kini.

- Advertisement / Iklan -

Ujar pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim, kedua-dua pendekatan tersebut mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk anak-anak.

“Bagi saya, kedua-duanya penting. Ibu bapa perlu bina hubungan yang bukan sekadar ‘saya ibu, awak anak’, tetapi lebih daripada itu.

"Saya mahu hubungan di mana anak-anak berani datang dan beritahu apa sahaja, semuanya terbuka.

Artikel Berkaitan:

“Ada sesetengah anak tidak berani berkongsi perkara di luar kebiasaan kerana takut reaksi ibu bapa. Bila dengar sesuatu yang berbeza sedikit, terus dipersoalkan tetapi saya tidak begitu. Saya mahu mereka datang dan bercakap dengan saya,” katanya dalam podcast Pop Family.

Dalam masa sama, wanita berusia 46 tahun itu menegaskan nilai keibubapaan Asia tetap perlu diterapkan, khususnya dalam soal batasan dan disiplin.

“Ada waktu-waktunya harus ada juga semangat Asia itu. Budak-budak masih perlukan batasan. Kalau kita tidak tetapkan, mereka boleh jadi terlalu bebas sampai kita sendiri dipijak, dan itu tidak betul.

“Kita sendiri dalam agama pun ada adab. Anak-anak pula ada yang belum matang pemikirannya, jadi kita perlu tetapkan batasan itu.

"Kadang-kadang batasan itu datang dalam bentuk hukuman, dan di situlah keibubapaan Asia memainkan peranan. Akhirnya, kita kena ada keseimbangan,” ujarnya lagi.

Keluarga bahagia Liza Hanim dan Shah.
Keluarga bahagia Liza Hanim dan Shah.

Mengimbau zaman kanak-kanaknya, pelantun yang terkenal dengan lagu Gelisah Mimpi itu berkata, dia dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang, namun tetap dalam pemantauan rapi.

Sebagai anak bongsu dan satu-satunya perempuan dalam keluarga, dia tidak pernah dipukul tetapi setiap pergerakannya sentiasa diperhatikan.

“Nak pergi mana, mak dan ayah akan hantar. Mereka akan tahu saya ke mana dan buat apa. Saya tidak pernah keluar rumah tanpa ada orang teman,” katanya.

Liza mendirikan rumah tangga bersama Mohamed Shahrin Mohd Shamsudin atau Shah Indigo dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu dua anak perempuan dan tiga anak lelaki.

Anak-anaknya ialah Marsya Qistina, 23; Marissa Qaireen (17), Mohamed Salahuddin (15), Mohamed Ibrahim (11), dan Mohamed Al Fateh (7).

Keterbukaan

Sementara itu, Marsya Qistina turut berkongsi pandangan mengenai cara dia dibesarkan dalam keluarga tersebut.

“Mama memang terbuka, tetapi disiplin itu tetap ada. Mama dan ayah tidak terlalu tegas tetapi ada perkara yang mereka tekankan, terutama pendidikan,” katanya.

Sebagai anak sulung, dia turut memikul tanggungjawab membantu ibu bapanya mengurus adik-adik. Malah, dia sering memastikan kerja sekolah disiapkan dan penggunaan gajet dikawal, sekali gus menjadikannya seperti ‘mak kedua’ dalam keluarga.

Dalam masa sama, dia mengakui pernah melalui fasa pemberontakan ketika di bangku sekolah, namun kini lebih memahami tujuan di sebalik didikan ibu bapanya.

“Dulu saya tidak banyak berkongsi, tetapi sekarang hubungan saya dengan mama dan ayah sudah berubah. Saya lebih terbuka dan faham kenapa mereka buat begitu,” ujarnya.

Liza dan Marsya ketika rakaman pertama podcast Pop Family baru-baru ini.
Liza dan Marsya ketika rakaman pertama podcast Pop Family baru-baru ini.

Komunikasi

Bagi Liza, perubahan tersebut membuktikan kepentingan komunikasi dalam keluarga. Dia menegaskan bahawa matlamatnya sebagai ibu bukan untuk menakutkan anak-anak, tetapi untuk mendidik mereka agar memahami nilai hormat.

“Kita mahu anak-anak hormat, bukan takut. Takut mungkin buat mereka berhati-hati, tetapi hormat itu datang daripada didikan dan pemahaman,” jelasnya.

Tambahnya lagi, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik kerana setiap perlakuan akan diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak.

Pendekatan seimbang antara kelembutan dan ketegasan, katanya, bukan sahaja membantu membina hubungan yang lebih erat, malah memastikan anak-anak membesar dengan nilai hormat, tanggungjawab dan keyakinan diri yang kukuh.