Puteri Balqis: Anak muda bukan mahu mengajar ibu bapa, cuma mahu difahami

- Advertisement / Iklan -
Bagi Puteri Balqis, mengenali apa yang kita rasa ialah langkah pertama untuk menjaga kesihatan mental.
Pelakon itu percaya jurang komunikasi antara generasi boleh dirapatkan apabila ibu bapa dan anak sama-sama bersedia memahami emosi, belajar mendengar dan berbincang dengan penuh kasih sayang.

Kesihatan mental bukan lagi topik yang asing dalam kalangan generasi muda. Hari ini, semakin ramai yang berani bercakap tentang emosi, tekanan dan kebimbangan kerana percaya setiap perasaan perlu difahami, bukannya dipendam.

Bagi pelakon Puteri Balqis, keterbukaan itu bukan bermaksud anak muda mahu mengajar atau menyalahkan generasi yang lebih tua. Sebaliknya, mereka hanya mahu lebih ramai memahami apa yang sedang dirasai.

"Kami masih muda, tetapi kami bukan bodoh. Kebanyakan daripada kami cuba memahami emosi dengan lebih mendalam.

"Kami bukan mahu mengajar orang yang lebih tua, tetapi lebih kepada berkongsi ilmu supaya mereka dapat memahami dan mengenal pasti apa yang sedang dirasai. Kadang-kadang seseorang hanya tahu dia berasa gelisah, tetapi tidak sedar bahawa perasaan itu sebenarnya ialah kebimbangan atau anxiety," katanya kepada Pop Family.

- Advertisement / Iklan -

Menurut Puteri Balqis, kesedaran itu lahir apabila mereka melihat sendiri kesan yang dialami individu yang bergelut dengan masalah kesihatan mental tetapi tidak mendapat perhatian atau bantuan yang sewajarnya.

"Bagi kami, isu kesihatan mental sangat penting kerana kami sudah melihat ramai individu yang mengalami masalah mental tetapi tidak didengari. Kami tahu kesannya. Malah, kebelakangan ini kita juga melihat ada yang akhirnya hilang kewarasan kerana tidak mendapat bantuan yang sewajarnya.

- Advertisement / Iklan -

"Sebab itulah kami begitu menitikberatkan kesihatan mental. Kami tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada generasi di atas mahupun generasi selepas kami," ujarnya.

Puteri Balqis percaya setiap keluarga sedang belajar memahami satu sama lain.

Pada masa sama, Puteri Balqis berpandangan jurang komunikasi antara anak dan ibu bapa tidak semestinya berpunca daripada kurangnya kasih sayang. Sebaliknya, ia mungkin dipengaruhi oleh cara setiap generasi dibesarkan dan didedahkan kepada isu kesihatan mental.

"Saya rasa ramai ibu bapa di seluruh dunia tidak pernah didedahkan tentang kemurungan, kebimbangan atau gangguan stres pascatrauma (PTSD).

"Mereka tahu apa yang mereka rasa dan sedar ia seperti satu penyakit, tetapi mereka dibesarkan dengan didikan supaya memendam segala-galanya.

"Mungkin cara berfikir itu diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

"Jadi, mungkin ada perkara yang mereka lakukan itu tidak betul, tetapi bukan sepenuhnya salah mereka kerana itulah cara mereka dibentuk," katanya.

Mengulas cara terbaik untuk anak berkongsi masalah dengan ibu bapa, Puteri Balqis percaya perbualan yang dimulakan dengan penuh kelembutan dan kasih sayang mampu membuka ruang untuk kedua-dua pihak saling memahami.

"Pada saya, pendekatan yang paling baik ialah bercakap dengan ibu bapa secara lembut dan penuh kasih sayang. Namun, ia juga bergantung kepada individu yang kita ajak berbincang.

"Sebagai contoh, dalam keluarga saya, kami saling menerima antara satu sama lain. Apa sahaja yang kami rasa, kami akan berbincang. Jika tidak bersetuju, kami akan berbincang. Jika ada perkara yang kami tidak suka, kami juga akan berbincang mengenainya.

"Sebab itu segala-galanya menjadi lebih mudah untuk diselesaikan.

"Malah, ibu saya sendiri dahulu tidak begitu memahami tentang kesihatan mental. Tetapi kami belajar mengenainya bersama-sama," katanya.