Mengejar impian bukan semudah memilih jalan sendiri. Bagi sesetengah anak muda, cabaran terbesar bukanlah kekurangan peluang, tetapi bagaimana untuk meyakinkan ibu bapa agar memberi kepercayaan terhadap pilihan yang dibuat.
Pelakon Riena Diana mengakui bukan mudah untuk mengubah pandangan ibu bapa, apatah lagi mereka yang mempunyai lebih banyak pengalaman hidup.
Menurutnya, ramai anak muda memilih untuk memberontak apabila pendapat mereka ditolak, sedangkan pendekatan yang lebih lembut sering kali membawa hasil yang berbeza.
"Ibu bapa kita ni dah lebih banyak makan garam daripada kita. Memang susah nak yakinkan mereka, tapi setiap perkara ada caranya, ada lenggoknya dan ada sopan santunnya.
"Jangan memberontak. Cuba cakap elok-elok dan fahamkan mereka. Duduk berbincang, dengar juga apa yang mereka nak sampaikan. Bila kita bercakap dengan nada yang tinggi atau bergaduh, akhirnya kita takkan berjaya meyakinkan sesiapa pun," katanya kepada Pop Family.
Menurut Riena, ibu bapa sentiasa menginginkan yang terbaik buat anak-anak mereka. Justeru, komunikasi yang tenang dan saling mendengar menjadi asas penting dalam membina kepercayaan.
Mengulas mengenai anak muda yang ingin mengejar impian atau mengikuti trend semasa, Riena berpendapat tiada salahnya mencuba sesuatu yang baharu, asalkan disertai ilmu dan dilakukan dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, dia bersetuju dengan pandangan pempengaruh terkenal, Khairul Aming, bahawa ilmu perlu menjadi asas sebelum seseorang memilih apa jua bidang.
"Kalau nak jadi influencer, jadilah influencer yang berilmu. Bila kita berkongsi sesuatu atau mempengaruhi orang lain, biarlah perkara itu memberi impak yang positif.
"Tak salah nak mencuba sebab kita semua pernah muda. Tapi apa saja yang kita pilih, buatlah dengan sepenuh hati. Jangan buat sekerat jalan," ujarnya.
Riena turut berkongsi bahawa perjalanan awalnya sebagai pelakon bukanlah sesuatu yang terus mendapat restu keluarga.
Dia mendedahkan pernah menerima tentangan daripada nenek dan bapanya yang berharap dia memilih kerjaya lebih stabil seperti menjadi guru atau pensyarah, memandangkan ramai ahli keluarganya berada dalam bidang pendidikan.
Namun, dia memilih untuk membuktikan bahawa bidang seni juga mampu menjadi kerjaya yang membanggakan serta membuka ruang untuk membantu keluarga.
"Saya pegang kata-kata ayah yang selalu pesan, apa saja yang kakak pilih, buat betul-betul dan buat sehabis baik.
"Bagi saya, itulah cara kita buktikan kepada ibu bapa bahawa pilihan yang kita buat bukan sekadar ikut-ikut, tetapi sesuatu yang kita benar-benar serius. Apa pun yang kita lakukan, akhirnya ia tetap kembali kepada keluarga."