Telefon sentiasa 'on', bilik tanpa kunci... Odah kongsi peraturan di rumah

- Advertisement / Iklan -
Apa yang dianggap 'strict' oleh sesetengah orang, mungkin dianggap sebagai tanda ambil berat oleh orang lain.
Anak Sharifah Shahirah sifatkan setiap keluarga ada cara tersendiri membina kepercayaan

Setiap keluarga ada cara tersendiri menetapkan sempadan untuk anak-anak.

Bagi bintang muda yang semakin meningkat naik, Auddra Zulkifli atau lebih mesra disapa Odah, 16, antara perkara yang sudah menjadi kebiasaan sejak kecil ialah memastikan telefon bimbitnya sentiasa boleh dihubungi.

Anak kepada pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahirah itu berkata, ibunya tidak pernah menghalang dia keluar bersama rakan-rakan, tetapi ada satu syarat yang perlu dipatuhi.

"Mama selalu cakap, nak pergi mana-mana boleh, asalkan telefon sentiasa hidup. Jangan tutup telefon sebab mama nak telefon dan nak tahu kita dekat mana," katanya

- Advertisement / Iklan -

Menurut Odah, ibunya juga gemar menghubunginya beberapa kali sehari untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik.

Di rumah pula, biliknya tidak mempunyai kunci.

- Advertisement / Iklan -

Walaupun pada mulanya dia pernah mempersoalkan perkara itu, lama-kelamaan dia memahami mengapa ibunya memilih untuk tidak memasang kunci pada pintu bilik.

Bagi Odah, bersikap jujur dengan ibu bapa sebenarnya membuatkan banyak perkara menjadi lebih mudah.

Malah, Odah berkata, ibunya boleh sahaja membuka pintu dan masuk ke bilik pada bila-bila masa.

Selain itu, rumah mereka turut dipasang kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa ruang seperti dapur dan ruang tamu.

Katanya, walaupun kedua-dua ibu bapanya keluar bekerja, mereka masih boleh memantau keadaan di rumah, terutama apabila adik-beradik membawa rakan-rakan datang berkunjung.

"Lebih mudah kalau mama tahu"

Bagi Odah, perkara yang sama juga terpakai jika suatu hari nanti dia mempunyai teman lelaki.

Katanya, dia lebih selesa untuk berterus terang dengan ibu bapanya berbanding menyembunyikan hubungan tersebut.

"Kalau saya bercinta, memang saya akan beritahu mama dan papa. Mereka akan tahu saya keluar dengan siapa, dekat mana dan pukul berapa saya balik."

Menurutnya, bersikap terbuka sebenarnya memudahkan banyak perkara kerana ibu bapa lebih memahami keadaan anak.

"Mungkin pada awalnya mereka marah, tapi bagi tahu sahaja. Percayalah, hidup akan jadi lebih mudah bila ibu bapa tahu."