Media sosial dan remaja: Pantau atau beri ruang?

- Advertisement / Iklan -
Podcast Pop Family yang bertajuk Too connected, too exposed? The teen social media dilemma boleh ditonton menerusi www.popfamily.my.
Akses media sosial untuk remaja 16 tahun dan ke bawah beri reaksi berbeza

Media sosial hari ini bukan lagi sekadar hiburan untuk remaja. Ia sudah menjadi ruang mereka berkawan, mencari identiti diri dan memahami dunia di sekeliling.

Namun, di sebalik trend dan kandungan menghiburkan, muncul juga kebimbangan semakin besar dalam kalangan ibu bapa tentang apa sebenarnya yang dilihat dan diproses oleh anak-anak mereka setiap hari di internet.

Dalam episod podcast Pop Family bertajuk Too connected, too exposed? The teen social media dilemma, Pakar Psikologi Klinikal MSU Medical Centre, Alyssa Suraya Ahmad Farouk Faizi berkata, remaja bawah 16 tahun masih belum matang sepenuhnya untuk mengendalikan tekanan dan pengaruh dunia digital tanpa bimbingan.

Menurutnya, bahagian otak yang mengawal emosi, membuat keputusan dan memahami risiko hanya matang sepenuhnya ketika pertengahan usia 20-an.

- Advertisement / Iklan -

“Remaja masih belajar memahami diri sendiri dan mengawal emosi. Sebab itu mereka perlukan bimbingan daripada orang dewasa ketika menggunakan media sosial,” katanya.

Tambah Alyssa, media sosial bukan lagi sesuatu yang boleh dielakkan sepenuhnya kerana kebanyakan remaja hari ini membesar bersama internet dan dunia digital.

- Advertisement / Iklan -

Namun, apa yang membimbangkan ialah apabila remaja diberikan akses terlalu awal tanpa pemantauan atau perbualan tentang risiko sebenar di internet.

Data DOSM 2025 menunjukkan lebih 60 peratus kanak-kanak kini memiliki peranti sendiri dan menghabiskan masa berjam-jam dalam talian setiap hari.

Realiti itu menyebabkan semakin ramai ibu bapa mula mempersoalkan sama ada sekatan media sosial untuk remaja bawah 16 tahun benar-benar diperlukan.

Pandangan berbeza

Bagi Muhammad Shahrul Azlan, pendekatan paling penting bukan sekadar menyekat, tetapi memantau dan membimbing anak-anak sejak awal.

Anaknya yang berusia 12 tahun sudah mempunyai TikTok dan Instagram, namun semua akaun dipantau olehnya.

“Kalau kita sekat terus sampai umur 16 tahun, nanti mereka masuk ke dunia media sosial tanpa tahu apa-apa.

“Saya rasa lebih baik mereka belajar perlahan-lahan dengan pengawasan ibu bapa,” jelasnya.

Shahrul turut percaya ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik dalam penggunaan media sosial kerana anak-anak cenderung meniru apa yang mereka lihat di rumah.

Namun bagi Audrey Ooi, situasinya lebih rumit apabila tekanan rakan sebaya mula mempengaruhi anak-anak.

Dia menetapkan peraturan tiada media sosial sehingga umur 16 tahun, tetapi mengakui anak lelakinya mula merasa tersisih kerana ramai rakan sudah aktif di media sosial.

“Anak rasa seperti tertinggal daripada perbualan kawan-kawan. Itu yang membuatkan situasi ini sukar untuk ibu bapa hari ini,” ujarnya.

Tambah Audrey, keputusan untuk melambatkan penggunaan media sosial bukan kerana mahu terlalu mengongkong, tetapi lebih kepada memastikan anak-anak benar-benar bersedia dari segi emosi dan mental.

Dari kiri: Muhammad Shahrul Azlan, Alyssa Suraya, Nina Nadira (pengacara podcast Pop Family) dan Audrey Ooi.

Kebimbangan

Ibu kepada dua orang cahya mata itu berkata, antara perkara paling dibimbangkannya ialah anak-anak terdedah kepada buli siber dan pengaruh yang tidak sihat tanpa pengetahuan ibu bapa.

Katanya, penting untuk membina hubungan yang membuatkan anak-anak rasa selamat untuk bercerita tanpa takut dihukum.

“Kami berbincang tentang kes buli siber, kes bunuh diri atau grooming supaya mereka tahu risiko sebenar yang wujud di internet,” jelasnya.

Dalam masa sama, Audrey berkata, kehilangan empati di media sosial juga antara perkara yang semakin membimbangkan.

“Kadang-kadang orang terlalu berani bercakap di sebalik skrin kerana mereka tidak nampak kesan sebenar kepada orang lain.

“Saya bukan sahaja takut anak saya menjadi mangsa buli siber, tetapi saya juga tidak mahu dia menjadi pembuli,” katanya.

Risiko

Dalam pada itu, Alyssa berkata, risiko terbesar munc ul apabila remaja diberikan akses bebas tanpa bimbingan dan pemantauan.

Jelasnya, media sosial boleh menormalkan standard kecantikan tidak realistik, budaya perbandingan sosial, gangguan pemakanan serta membuka ruang kepada buli siber dan pemangsa seksual.

“Apabila mereka melihat standard kecantikan atau gaya hidup tertentu setiap hari, mereka mula rasa tidak cukup baik atau tertinggal.

“Tanpa bimbingan, mereka sukar membezakan apa yang sihat dan apa yang berbahaya.

“Kalau dulu dibuli di sekolah, rumah masih menjadi tempat selamat tetapi sekarang, gangguan itu boleh berterusan dalam talian walaupun selepas mereka pulang ke rumah,” jelasnya.