Dalam era digital hari ini, ibu bapa tidak lagi boleh menganggap pendidikan seksual sebagai topik tabu atau sesuatu yang hanya perlu dibincangkan apabila anak meningkat dewasa.
Realitinya, akses internet tanpa sempadan, penggunaan telefon pintar pada usia muda serta lambakan kandungan seksual di media sosial menjadikan kanak-kanak dan remaja semakin terdedah kepada pelbagai pengaruh yang membimbangkan.
Menurut Pakar Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Prof Dr Ramli Musa, pendidikan seksual sebenarnya adalah satu kewajipan ibu bapa terhadap anak-anak.
Jelasnya, ramai ibu bapa masih tidak menyedari risiko besar yang sedang dihadapi remaja hari ini termasuk eksploitasi seksual dalam talian atau child grooming.
“Saya pernah merawat kes ibu bapa sangat kecewa selepas mengetahui anak mereka melakukan panggilan video seks bersama individu yang baru dikenali sebelum rakaman itu tersebar luas.
“Ramai masih tidak sedar bahawa perkara seperti ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya kepada Pop Family.
Tambah beliau, pendidikan seksual bukan sekadar berkaitan hubungan intim semata-mata, tetapi merangkumi aspek keselamatan diri, perubahan tubuh badan, emosi, batas pergaulan dan tanggungjawab dalam membuat keputusan.
Ujarnya, pendidikan seksual boleh dimulakan seawal usia empat hingga enam tahun dengan pendekatan mudah mengikut tahap pemahaman anak-anak.
Antaranya dengan memperkenalkan perbezaan jantina, anggota badan serta konsep sentuhan selamat dan tidak selamat.
Apabila anak memasuki usia hampir baligh sekitar tujuh hingga 12 tahun, ibu bapa boleh mula menerangkan perubahan fizikal seperti haid, perubahan suara dan perkembangan tubuh badan supaya mereka tidak berasa takut atau keliru apabila melaluinya kelak.
Masuk sahaja usia remaja, perbincangan boleh diperluaskan kepada topik lebih serius termasuk risiko seks bebas, penyakit kelamin, eksploitasi seksual dan undang-undang berkaitan.
Buang rasa malu
Dalam masa sama, Prof. Ramli berkata, ibu bapa perlu membuang rasa malu untuk berbincang mengenai seksual dengan anak-anak kerana jika tidak, remaja mungkin mencari jawapan sendiri melalui internet atau rakan sebaya.
“Kita perlu faham seks adalah sebahagian daripada keperluan asas manusia. Jadi mahu atau tidak, anak-anak tetap akan terdedah kepada perkara ini.
“Bezanya sama ada mereka mendapat ilmu yang betul atau salah,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendidikan seksual tidak akan menggalakkan remaja melakukan perkara tidak sihat seperti yang sering dibimbangkan sesetengah pihak.
Sebaliknya, pengetahuan yang tepat membantu remaja memahami risiko, menjaga keselamatan diri dan lebih menghormati batasan dalam hubungan.
Menurutnya lagi, dalam dunia digital hari ini, ibu bapa mungkin tidak mampu mengawal sepenuhnya apa yang dilihat anak-anak di internet, namun usaha membimbing dan memantau tetap penting.
Terbuka
Namun beliau percaya kawalan dalaman atau kesedaran diri dalam diri anak jauh lebih penting berbanding kawalan luaran semata-mata.
“Apabila mereka ada kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri, mereka akan lebih berhati-hati walaupun tanpa pemantauan ibu bapa,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon dan pengacara Yasmin Hani turut mengakui dia memilih pendekatan terbuka dalam mendidik dua anak lelakinya, Noah Ismail Wong, 13, dan Eissa Elzander Wong, sembilan tahun.
Menurut Yasmin, pendekatan tersebut dipengaruhi arwah bapanya yang banyak mendidiknya mengenai perubahan tubuh badan dan pendidikan seksual sejak kecil.
“Saya sangat terbuka sebab arwah bapa saya pun banyak mendidik saya mengenai pendidikan seksual dan tubuh badan manusia.
“Sekarang saya buat perkara yang sama dengan anak-anak,” katanya yang cuba mendidik dengan pendekatan lebih lembut dan terbuka supaya anak berasa selesa belajar serta berkongsi pandangan tanpa rasa takut.