Kenali Hakim Danish, harapan baharu MotoGP Malaysia

- Advertisement / Iklan -
Hakim Danish menggemudi jentera bernombor 13.
Pelumba muda negara itu terus mencuri perhatian selepas mencatat penamat terbaik musim ini di Grand Prix Catalan, Sepanyol.

Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli terus mencuri perhatian peminat sukan permotoran selepas mencatat penamat terbaik musim ini pada Grand Prix (GP) Catalan di Litar Catalunya, Sepanyol, Ahad lalu.

Pada perlumbaan tersebut, pelumba berusia 18 tahun itu menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas memulakan aksi dari petak ke-10.

Malah, Hakim sempat berada dalam kelompok podium sepanjang perlumbaan sebelum kesilapan di penghujung aksi menyebabkan dia terpaksa berpuas hati di kedudukan ketujuh.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tetap menjadi pencapaian terbaiknya musim ini selepas sebelum ini sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 pada GP Brazil dan GP Perancis.

- Advertisement / Iklan -

Dilahirkan pada 30 Julai 2007 di Kuala Terengganu, Terengganu, minat Hakim terhadap dunia perlumbaan motosikal bermula sejak kecil.

Bintang muda itu menjadikan bekas pelumba MotoGP negara, Zulfahmi Khairuddin sebagai idolanya.

- Advertisement / Iklan -

Bapanya merupakan seorang mekanik manakala ibunya pula suri rumah yang sentiasa memberi sokongan terhadap kariernya.

Hakim pernah berkongsi bahawa minat terhadap MotoGP bermula ketika dia berusia lapan tahun selepas melihat minibike milik bapanya.

Dari situlah perjalanan kariernya sebagai pelumba motosikal bermula sebelum bakatnya mula berkembang dalam perlumbaan pocket bike dan kejohanan tempatan.

Pelumba muda itu juga menjadikan bekas pelumba MotoGP negara, Zulfahmi Khairuddin sebagai idolanya selain menyimpan impian untuk bergelar juara dunia MotoGP suatu hari nanti.

Nama Hakim mula mencuri perhatian apabila menyertai Asia Talent Cup pada 2021 dan berjaya meraih tiga podium pada musim pertamanya.

Hakim Danish semakin menyerlah di litar antarabangsa.

Walaupun pernah mengalami kecederaan pergelangan tangan sehingga terlepas aksi terakhir musim tersebut, dia bangkit lebih kuat pada tahun berikutnya sebelum muncul juara keseluruhan Asia Talent Cup 2022 dengan empat kemenangan sepanjang musim.

Kariernya kemudian berkembang ke pentas Eropah menerusi saingan European Talent Cup dan Red Bull Rookies Cup.

Antara pencapaian terbaiknya termasuk kemenangan di Aragon pada 2024 dan 2025 selain berjaya meraih podium pertama dalam FIM JuniorGP di Estoril tahun ini.

Hakim turut mencuri perhatian ketika membuat penampilan sulung dalam Moto3 di Grand Prix Malaysia 2025 apabila mencatat masa terpantas perlumbaan.

Prestasi konsisten itu akhirnya membuka laluan buatnya untuk bersaing secara sepenuh masa dalam Moto3 bersama pasukan MSI.

Selepas enam pusingan musim ini, Hakim kini menghuni tangga ke-11 keseluruhan dengan 27 mata dan bakal meneruskan cabaran di GP Itali dari 29 hingga 31 Mei ini.

Bagi peminat sukan permotoran tempatan, Hakim kini dilihat sebagai antara harapan terbesar Malaysia untuk kembali bersinar di pentas MotoGP dunia.