Perceraian mungkin menamatkan sebuah hubungan antara dua insan dewasa, tetapi bagi seorang anak, ia sering menjadi permulaan kepada luka yang tidak terlihat.
Di sebalik pertelingkahan, urusan mahkamah dan perebutan hak penjagaan, ada emosi remaja yang perlahan-lahan terhakis, dipendam tanpa ruang untuk difahami.
Menurut Pakar Psikiatri & Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA dan Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Dr Nor Hidayah Jaris, konflik ibu bapa yang berpanjangan boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan emosi remaja.
Jelasnya, antara kesan paling ketara ialah ketidakstabilan emosi apabila remaja berdepan kemurungan, mudah marah serta menjadi terlalu sensitif terhadap persekitaran.
“Remaja ini juga berisiko memilih cara tidak sihat untuk mengatasi tekanan seperti penyalahgunaan bahan terlarang, mencederakan diri atau melarikan diri daripada masalah,” katanya kepada Pop Family.
Tambah beliau, konflik keluarga turut memberi kesan kepada pembentukan identiti diri apabila remaja mula berasa rendah diri, merasakan diri tidak cukup baik atau menyalahkan diri sebagai punca kepada perpecahan keluarga.
Dalam sesetengah situasi, ada remaja yang dilihat lebih matang daripada usia sebenar. Namun, kematangan itu tidak semestinya mencerminkan keadaan emosi yang sihat.
Perkongsian sama turut disuarakan anak kepada pelakon dan usahawan, Betty Banafe iaitu Julia Claire Dargus, 13, yang melalui pengalaman perceraian ibu bapanya sejak kecil.
“Saya rasa saya sekarang lebih matang dan kuat, terutama dengan ibu dan adik di sisi.
“Kalau ada yang melalui perkara sama seperti saya, kena kuat. Jangan lupa Allah. Kalau sesuatu yang buruk berlaku, berdoalah.
“Jika ibu masih ada di sisi, itu satu nikmat besar. Kena berdiri atas kaki sendiri dan jangan terlalu hanyut dalam rasa sedih,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Nor Hidayah menjelaskan kematangan seperti itu sering kali merupakan mekanisme untuk menyesuaikan diri dengan keadaan.
“Kematangan ini sering kali adalah mekanisme menyesuaikan diri. Ada yang menyembunyikan emosi demi menjaga kestabilan keluarga, terutama adik-adik.
“Jika tidak diuruskan, ia boleh membawa kepada keletihan emosi dan masalah kesihatan mental yang lebih serius,” jelasnya.
Sokongan
Beliau menegaskan bahawa remaja tidak seharusnya dipaksa memikul beban emosi orang dewasa.
Dalam jangka panjang, konflik terbuka antara ibu bapa termasuk pertelingkahan atau prosiding mahkamah boleh mengubah cara remaja melihat konsep keluarga.
Institusi yang sepatutnya menjadi tempat selamat dan perlindungan mungkin dilihat sebagai sesuatu yang penuh tekanan dan tidak stabil.
“Kesannya, mereka mungkin takut untuk berkomitmen dalam hubungan, mempunyai pandangan negatif terhadap hubungan intim, malah berisiko mengulangi corak kekeluargaan yang sama kerana menganggap itulah norma,” katanya.
Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku sebagai tanda awal remaja sedang terkesan secara emosi.
Antaranya apabila mereka menjadi semakin pendiam, mengasingkan diri, tidak lagi mahu berinteraksi atau menolak untuk terlibat dalam aktiviti keluarga.
“Ada juga yang memilih untuk berada di luar rumah lebih lama kerana merasakan rumah tidak lagi selamat atau aman,” ujarnya.
Mengulas sama ada remaja yang bersuara atau memilih untuk diam lebih membimbangkan, beliau menjelaskan kedua-duanya perlu diberi perhatian serius.
Remaja yang bersuara sebenarnya sedang mencari ruang untuk didengari, manakala yang memilih untuk diam berisiko memendam emosi sehingga memberi kesan lebih mendalam kepada kesihatan mental.