‘Hasil didikan tauhid sufi ibu ayah…’ - Remaja 14 tahun pimpin solat jenazah, baca talkin buat bapanya undang sebak

- Advertisement / Iklan -
Kekuatan dan sifat tanggungjawab remaja berusia 14 tahun ini menjadi perhatian ramai.

Tindakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tenang mengimamkan solat jenazah dan menyampaikan talkin buat bapanya, Allahyarham Mohd Aimanuddin Roslan atau dikenali sebagai Dr Aiman Roslan mengundang rasa sebak dalam kalangan orang ramai.

Menerusi video tular di media sosial, anak sulung Allahyarham yang dikenali sebagai Zidane dilihat berdiri di hadapan jemaah sambil memimpin bacaan solat dan zikir di sebuah surau di Shah Alam.

Suasana menjadi lebih hiba apabila remaja itu kemudian membacakan talkin sebaik sahaja jenazah bapanya selesai dikebumikan di tanah perkuburan Seksyen 21, Shah Alam.

Dengan nada tenang dan penuh tertib, Zidane menyampaikan pesanan tentang kehidupan dan kematian yang menyentuh hati ramai.

- Advertisement / Iklan -

“Hari ini dia telah meninggalkan dunia, dia telah meninggalkan kita, dia telah meninggalkan semua berkaitan dunia kecuali amalannya.

“Sesungguhnya ayah saya pernah berkata, bila seseorang mati, dia bukanlah mati yang sebenar tetapi dia hanya berpindah alam,” katanya ketika membacakan talkin.

- Advertisement / Iklan -

Perkongsian video tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata tersentuh melihat ketenangan serta kekuatan remaja itu dalam menghadapi kehilangan besar dalam hidupnya.

Ramai turut menyifatkan ketenangan Zidane sebagai hasil didikan agama yang diterapkan Allahyarham dan isterinya sejak kecil.

Allahyarham yang juga seorang petugas kesihatan dilaporkan menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada usia 38 tahun.

Dia meninggalkan seorang balu serta lima cahaya mata termasuk bayi yang difahamkan baru dilahirkan pada 6 April lalu.

Dr Aiman bersahabat baik dengan aktor Farid Kamil.

Menerusi perkongsian beberapa kenalan termasuk aktor Farid Kamil, Allahyarham disifatkan sebagai seorang sahabat dan doktor yang sangat baik serta sentiasa mengingatkan rakan-rakan tentang agama dan kehidupan.

“Dr Aiman seorang sahabat yang baik, sahabat yang sentiasa mengingatkan…

“Moga Dr Aiman ditempatkan dalam kalangan para solihin dan diberi ganjaran syurga kelak,” tulisnya di media sosial.

Sebelum ini, beberapa video dan gambar turut tular memaparkan keadaan surau serta tanah perkuburan yang dipenuhi orang ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Difahamkan semasa hayatnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang doktor yang aktif berdakwah dan disenangi ramai.