Penyampai radio ERA dan pelakon, Azad Jasmin atau lebih mesra disapa Pak Azad, mempunyai sebab tersendiri mengapa dia memilih untuk menghantar tiga anak perempuannya ke sekolah kebangsaan biasa berbanding sekolah antarabangsa atau sekolah swasta.
Menurut Pak Azad, 50, keputusan tersebut bukan disebabkan kekangan kewangan, sebaliknya dia mahu anak-anak membesar dengan memahami realiti kehidupan sebenar serta mengenali nilai kemanusiaan sejak kecil.
Azad berkata demikian ketika muncul dalam sebuah podcast bersama penghibur terkenal tanah air, Aznil Nawawi atau Pak Nil.
“Kenapa saya tidak hantar anak-anak perempuan ke international school atau private school?
"Saya hantar mereka ke sekolah biasa, sekolah macam zaman kita dahulu.
“Kalau soal Bahasa Inggeris, mereka memang sudah bercakap dengan saya dalam English di rumah,” katanya.
Azad yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon Eira Syazira atau Syazira Shuhaimi dikurniakan tiga cahaya mata perempuan iaitu Amarra Sofea Rose, 13, Ameisya Leann Rose, 9, dan Areisya Suri Rose, 8.
Bagi Azad, suasana di sekolah kebangsaan memberi peluang kepada anak-anak untuk melihat sendiri pelbagai latar belakang kehidupan masyarakat.
Katanya, pengalaman itu penting supaya mereka tidak membesar dalam ‘bubble’ sendiri tanpa memahami kesusahan orang lain.
“Bila mereka pergi ke sekolah biasa, mereka belajar tentang dunia sebenar.
“Mereka nampak ada pelajar yang mampu beli buku latihan, tetapi dalam masa sama ada juga kawan yang belum dapat beli sebab ayah belum gaji.
“Kalau di international school, kebanyakan orang mampu memiliki semuanya. Jadi apa yang mereka boleh belajar? Kemanusiaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azad turut berkongsi satu momen yang cukup menyentuh hati apabila salah seorang anaknya sanggup membeli pakaian rumah sukan untuk rakan sekolah yang tidak mampu.
“Anak saya pernah cakap, ‘Daddy, tadi saya beli baju rumah hijau untuk saya. Tapi Siti, kawan saya, masih belum dapat beli. Daddy, I’m sorry you know, I buy another one for her.’
“Perkara-perkara macam itu yang paling seronok untuk didengar sebagai seorang bapa,” katanya.
Tambah Azad lagi, dia percaya anak-anak perlu didedahkan dengan suasana kehidupan sebenar supaya mereka belajar menghargai kelebihan yang dimiliki selain memahami kekurangan orang lain.
Katanya, meskipun dia mampu memberikan pendidikan di sekolah elit kepada anak-anak, pengalaman membesar dalam suasana biasa tetap mempunyai nilai yang sukar dicari ganti.
“Dulu mana ada sekolah private atau sekolah-sekolah elit macam sekarang. Jadi saya praktikkan perkara itu supaya mereka membesar dalam persekitaran yang sama.
“Bila balik rumah pula, saya layan mereka seperti di international school.
“Saya buat suasana urban di rumah, tetapi saya mahu mereka rasa suasana kampung di luar.
“Saya rasa penting untuk ada sesuatu yang sentiasa menarik kita kembali ke bumi,” katanya.