Betty Banafe utamakan kestabilan emosi anak, akui pernah bawa jumpa pakar

- Advertisement / Iklan -

Pelakon dan usahawan, Betty Banafe, 46, menegaskan keutamaan utamanya adalah memastikan kestabilan emosi dua anaknya terus terjaga meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Jelasnya, dia telah mengambil langkah mendapatkan bantuan profesional dengan membawa anak-anak berjumpa pakar psikiatri dan psikologi ketika mereka melalui fasa trauma.

“Saya rasa saya telah melakukan yang terbaik untuk menstabilkan keadaan emosi anak-anak. Saya bawa mereka berjumpa pakar, tetapi itu bukan baru-baru ini, sebaliknya ketika mereka melalui trauma,” katanya dalam podcast Pop Family baru-baru ini.

Ujarnya, situasi tersebut berlaku ketika dia terpaksa membawa anak-anak ke balai polis bagi tujuan laporan berkaitan proses mahkamah.

- Advertisement / Iklan -

Bagaimanapun, dia mengakui proses berkenaan mengambil masa panjang sehingga memberi keletihan emosi kepada mereka sekeluarga.

“Saya tidak nampak mahkamah benar-benar membantu kami. Prosesnya terlalu lama sehingga kami rasa letih,” ujarnya.

- Advertisement / Iklan -

Sehubungan itu, dia mengambil pendekatan untuk memberi ruang kepada anak-anak menikmati kehidupan seperti remaja lain tanpa tekanan berlebihan.

“Saya mahu mereka gembira, berkawan dan menerokai dunia untuk melihat potensi diri mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Betty turut berkongsi mengenai keputusannya untuk lebih terbuka di media sosial, termasuk menyertakan nama anaknya di profil Instagram.

Jelasnya, sebelum ini dia memilih untuk lebih berhati-hati susulan kebimbangan terhadap tindakan undang-undang yang pernah dihadapi.

“Sebelum ini saya sembunyikan kerana anak minta untuk ada media sosial sendiri seperti kawan-kawan lain, tetapi saya risau akan tindakan yang boleh diambil terhadap saya.

“Namun kali ini, selepas anak meluahkan perasaan mereka, saya tidak peduli lagi,” katanya.

Untuk rekod, Betty mendirikan rumah tangga dengan Bruce Dargus pada 8 Disember 2012 sebelum bercerai pada 10 Julai 2019.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Julia Claire Dargus, 13, dan Bruce Dean Dargus, 10.