Di kala rakan sebaya lain hanya memikirkan sekolah dan kerja sekolah, Benyapha Thanakornmonporn sudah mempunyai tanggungjawab lain terhadap keluarganya.
Dia masih seorang pelajar, tetapi peranannya tidak terhenti di situ.
Sebaik tamat waktu persekolahan, Benyapha terus pulang ke rumah, bukan untuk berehat, tetapi untuk menjaga bapanya yang terlantar sejak lebih 16 tahun lalu akibat kemalangan ketika membaiki penghawa dingin.
Hidup lumpuh dengan beberapa komplikasi kesihatan lain, bapanya memerlukan penjagaan harian yang berterusan.
Benyapha membantu menukar lampin, menguruskan beg air kencing dan memastikan bapanya berada dalam keadaan selesa sebelum keluar semula pada waktu petang.
Bukan untuk bertemu rakan, tetapi untuk mengutip tin dan botol plastik di tepi jalan serta tong sampah, yang kemudian dijual bagi menambah pendapatan keluarga.
Ada minggu, hasilnya kurang daripada 100 baht (sekitar RM13).
Mereka sekeluarga tinggal di sebuah bilik sewa kecil di Pak Kret. Ibunya bekerja sebagai pencuci sekolah dengan pendapatan sekitar 380 baht sehari dan menjadi satu-satunya sumber pendapatan tetap.
Sebahagian besar digunakan untuk keperluan harian serta kos penjagaan bapanya, termasuk barangan asas perubatan.
Pernah juga dia hampir terpaksa berhenti sekolah apabila yuran tidak mampu dijelaskan, dianggarkan antara 3,000 hingga 5,000 baht termasuk kelengkapan. Ibunya terpaksa meminjam wang bagi memastikan dia dapat meneruskan pelajaran.
Benyapha menamatkan penggal persekolahan dengan keputusan cemerlang, memperoleh GPA 3.75 dan berada di tempat ketiga dalam kelas, dengan purata keseluruhan 3.31.
Apabila ditanya tentang usahanya mengutip tin dan botol, jawapannya ringkas.
“Saya tidak malu. Bapa saya sakit, dan saya perlu membantunya," ujarnya ringkas tetapi tegas.