Maddox gugur nama Pitt, kisah keluarga terus jadi perhatian
Di tengah gemerlap industri hiburan Hollywood, satu perubahan kecil pada kredit filem sudah cukup untuk mencetuskan perbincangan. Kali ini, nama yang tertera di hujung sebuah naskhah menjadi perhatian ramai.
Anak sulung kepada pasangan pelakon tersohor, Angelina Jolie dan Brad Pitt, iaitu Maddox, dilaporkan tidak lagi menggunakan nama keluarga bapanya dalam kredit filem terbaharu lakonan ibunya.
Dalam filem arahan Alice Winocour berjudul Couture, nama yang tertera ialah “Maddox Jolie”. Sebelum ini, bagi projek Maria, dia masih disenaraikan sebagai “Maddox Jolie-Pitt”.
Dalam Couture, pelakon berusia 50 tahun itu membawakan watak Maxine Walker, seorang wanita yang didiagnosis menghidap kanser payudara ketika Minggu Fesyen Paris berlangsung.
Maddox pula terlibat sebagai pembantu pengarah, satu peranan yang memperlihatkan kecenderungannya bekerja di belakang tabir, jauh daripada sorotan kamera yang sejak kecil mengiringi kehidupannya.
Dilahirkan di Kemboja pada 2001, Maddox merupakan anak angkat pertama Jolie sebelum aktres itu bertemu Pitt. Pada 2006, Pitt secara rasmi mengambilnya sebagai anak angkat, sekali gus menyatukan nama keluarga Jolie-Pitt yang kemudian menjadi antara nama paling dikenali dalam dunia hiburan.

Selain Maddox, pasangan tersebut turut membesarkan lima lagi cahaya mata iaitu Pax yang diambil sebagai anak angkat dari Vietnam, Zahara dari Ethiopia, serta tiga anak kandung mereka, Shiloh dan pasangan kembar Vivienne serta Knox.
Keenam-enam anak ini membesar dalam perhatian media global, setiap langkah mereka sering menjadi bahan laporan.
Perubahan penggunaan nama Maddox bukanlah yang pertama dalam kalangan adik-beradiknya. Zahara sebelum ini memperkenalkan dirinya sebagai “Zahara Marley Jolie” dalam satu majlis rasmi di kolejnya, manakala Shiloh dilaporkan tidak lagi menggunakan nama keluarga bapanya dalam bahan promosi teater yang diterbitkan bersama ibunya.
Pasangan ini berkahwin pada 2014 sebelum pelakon filem Maleficent itu memfailkan perceraian pada 2016. Mereka diisytiharkan berstatus bujang secara sah pada 2019 dan penyelesaian perceraian dimuktamadkan pada Disember 2024.
Perceraian tersebut sebelum ini turut disusuli dakwaan insiden pertelingkahan dalam pesawat peribadi, namun pihak berkuasa tidak memfailkan sebarang pertuduhan jenayah terhadap pelakon filem Troy itu.
Menurut sumber yang dipetik media antarabangsa, aktor berusia 62 tahun itu dikatakan sedar serta berasa sedih dengan keputusan tersebut dan masih menyayangi kesemua anaknya.
