Bila anak mula mengunci pintu bilik atau kurang berkongsi cerita seperti dahulu, ramai ibu bapa mula tertanya-tanya, adakah itu tanda mereka semakin menjauh?
Dalam realiti kehidupan moden, keinginan remaja terhadap ruang privasi sering disalah tafsir sebagai sikap memberontak, sedangkan bagi sebahagian mereka, ia hanyalah proses mengenali diri sendiri.
Isu ini menjadi semakin relevan apabila dunia digital membuka ruang interaksi yang lebih luas kepada generasi muda. Remaja hari ini bukan sahaja membesar dalam dunia fizikal bersama keluarga tetapi turut membina identiti melalui dinamika interaksi dalam talian yang sukar dipantau oleh orang dewasa.
Pakar psikologi sosial, Dr Adnan Omar menjelaskan bahawa konsep privasi tidak lagi boleh difahami secara sempit seperti dahulu.
Katanya, jika sebelum ini privasi sering dikaitkan dengan ruang fizikal seperti berada di dalam bilik, kini ia turut melibatkan dimensi emosi dan sosial.
“Privasi boleh membawa maksud rasa hormat terhadap individu. Seseorang perlu selesa mempunyai pemikiran sendiri tanpa merasakan ruang peribadi mereka dilanggar,” jelas Dr Adnan kepada Pop Family.
Tambahnya, perubahan landskap digital menjadikan definisi privasi semakin sukar ditentukan kerana remaja hari ini boleh berada bersama keluarga secara fizikal, namun pada masa yang sama berinteraksi dengan komuniti lain di alam maya.
Situasi tersebut, menuntut ibu bapa melihat isu privasi dengan pendekatan yang lebih seimbang, bukan sekadar berdasarkan ruang fizikal semata-mata.
Dalam teori psikologi perkembangan yang diperkenalkan Erik Erikson, fasa remaja merupakan tempoh penting pembentukan identiti diri.
Proses pembentukan
Pada peringkat ini, remaja cuba memahami nilai, minat serta arah hidup yang ingin dibentuk sebelum melangkah ke alam dewasa.Jika proses tersebut tidak berlaku dengan baik, mereka berisiko mengalami kekeliruan peranan apabila meningkat usia.
Jelas beliau lagi, identiti remaja lazimnya dipengaruhi oleh keluarga, agama, budaya serta institusi pendidikan.
Namun pada era moden, dunia digital menjadi satu lagi agen sosialisasi yang kuat dan tidak boleh diabaikan.
“Remaja memerlukan ruang untuk berfikir dan membina identiti sendiri, tetapi dalam masa yang sama ibu bapa masih perlu menjadi sumber rujukan yang sihat,” ujarnya.
Bagi membantu ibu bapa mencari keseimbangan, beliau mencadangkan konsep zon bebas gajet dan masa bebas gajet dalam rumah. Contohnya, ruang seperti meja makan atau bilik tidur boleh dijadikan kawasan tanpa peranti bagi menggalakkan komunikasi bersemuka.
Melalui rutin harian yang konsisten, hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh tanpa perlu melanggar batas peribadi anak.
Secara tidak langsung, komunikasi terbuka memainkan peranan besar dalam memastikan remaja tetap kembali berbincang dengan keluarga apabila berdepan cabaran di alam maya.
Privasi, jelas beliau, bukan bermaksud ibu bapa melepaskan tanggungjawab, tetapi tentang mencari keseimbangan antara memberi ruang dan menyediakan struktur kehidupan yang jelas.
Bukan menjauh
Seiring pandangan pakar, bintang remaja yang semakin meningkat naik, Auddra Zulkifli turut berkongsi perspektifnya sebagai wakil generasi muda yang melihat privasi sebagai sesuatu yang normal, bukan simbol penolakan terhadap keluarga.
Katanya, semua individu tanpa mengira usia memerlukan ruang peribadi, termasuk golongan dewasa. Justeru, tidak wajar jika keinginan remaja terhadap privasi dilihat sebagai sesuatu yang negatif.
“Pada pandangan saya, semua orang memerlukan privasi termasuk orang dewasa. Begitu juga dengan kami sebagai remaja.
“Saya boleh berkongsi perkara yang orang ingin tahu, tetapi setiap individu perlu ada batas. Ruang privasi itulah had peribadi saya,” katanya.
Tambahnya lagi, memiliki ruang peribadi bukan bermaksud hubungan dengan ibu bapa menjadi renggang. Sebaliknya, ada perkara yang dirasakan tidak perlu dikongsi secara terperinci walaupun hubungan kekeluargaan tetap rapat dan saling memahami.
“Saya dengan ibu memang rapat, tetapi ada perkara yang saya simpan atas dasar privasi. Itu bukan bermakna ibu saya tidak penting, cuma ada hal yang saya rasa tidak terlalu penting untuk diceritakan,” jelasnya lagi.
Hakikatnya, keinginan terhadap ruang privasi mungkin menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa, namun ia juga boleh menjadi petunjuk bahawa anak sedang membina identiti sendiri.