Minggu lalu, Pop Family membincangkan bagaimana mengenali hubungan keluarga yang toksik dan kesannya terhadap kesihatan mental. Namun, apabila seseorang mula menyedari dirinya berada dalam hubungan yang tidak lagi sihat, satu lagi persoalan yang sering menghantui fikiran muncul.
Perlukah terus bertahan demi menjaga silaturahim atau mengambil sedikit jarak untuk melindungi diri sendiri?
Bagi sesetengah individu, keputusan itu bukan sesuatu yang mudah. Ada yang memilih untuk terus berdiam diri kerana bimbang dianggap derhaka, mementingkan diri atau memutuskan hubungan dengan keluarga sendiri.
Hakikatnya, rasa bersalah sering menjadi penghalang terbesar untuk seseorang menetapkan batasan walaupun dirinya sudah lama terluka.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri MSU Medical Centre (MSUMC), Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi, menjaga kesihatan mental tidak bercanggah dengan nilai kekeluargaan jika dilakukan dengan cara yang betul.
“Menjaga kesihatan mental adalah tanggungjawab moral terhadap diri sendiri. Menetapkan jarak bukan bermaksud membenci tetapi melindungi diri daripada mudarat berulang atau mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
“Hubungan yang memudaratkan tidak wajib dikekalkan tanpa batas,” katanya kepada Pop Family.
Tambah beliau, seseorang masih boleh menghormati dan menyayangi ahli keluarganya tanpa perlu mengorbankan kesejahteraan emosi. Malah, Islam menggalakkan umatnya memelihara silaturahim, namun tidak mengajar seseorang untuk terus membiarkan diri dizalimi dari segi emosi.
Jelasnya dalam psikologi keluarga, pendekatan itu dikenali sebagai functional distancing iaitu mengambil jarak secara terpilih bagi mengelakkan mudarat sambil mengekalkan rasa hormat dan kasih sayang terhadap keluarga.
Healthy boundaries pula boleh dibina melalui langkah-langkah kecil yang realistik. Antaranya, tidak lagi menjadi orang tengah dalam konflik keluarga, berani menolak permintaan membebankan secara berterusan, mengehadkan tempoh interaksi yang sering menjejaskan emosi serta belajar berkomunikasi secara tegas tetapi tetap berhemah.
“Seseorang boleh tetap mendoakan kebaikan untuk keluarga, menghormati mereka dan berbuat baik dalam perkara yang tidak memudaratkan, tetapi pada masa yang sama mengawal bentuk serta tahap interaksi agar tidak terus terperangkap dalam pola hubungan yang menyakitkan,” ujarnya.
Bukan putus hubungan
Muhammad Najib menjelaskan, tidak semua individu perlu memutuskan hubungan dengan ahli keluarga yang toksik.
Sebaliknya, keputusan itu bergantung kepada tahap mudarat yang dialami, kesediaan ahli keluarga untuk berubah serta sama ada hubungan tersebut masih boleh diperbaiki melalui komunikasi atau bantuan profesional.
“Jika hubungan itu masih boleh dipulihkan melalui komunikasi, terapi keluarga atau perubahan tingkah laku, maka usaha ke arah pemulihan wajar diutamakan.
“Namun, jika hubungan terus membawa penderaan emosi atau fizikal tanpa sebarang perubahan, menjauhkan diri boleh menjadi pilihan yang lebih selamat,” katanya.
Berani minta bantuan
Tambah beliau, individu yang membesar dalam keluarga toksik juga tidak perlu berdepan situasi itu bersendirian.
Mendapatkan bantuan daripada ahli psikologi, kaunselor atau individu yang dipercayai mampu membantu mereka memahami pengalaman sendiri serta membina semula keyakinan diri.
“Ramai yang membesar dalam keluarga toksik menganggap apa yang berlaku sebagai perkara normal kerana mereka tidak pernah mengenali bentuk hubungan yang lebih sihat. Sebab itu mendapatkan bantuan profesional penting untuk membantu mereka melihat keadaan dengan lebih jelas,” katanya.
Menurut Muhammad Najib, antara cabaran paling besar ialah menerima hakikat bahawa tidak semua ahli keluarga bersedia berubah walaupun kita sudah berusaha sedaya upaya.
Namun, seseorang masih boleh memilih bagaimana untuk bertindak balas terhadap keadaan tersebut demi menjaga kesejahteraan diri.
Kisah tersendiri
Sementara itu, pelakon dan pelawak, Zizan Razak berpandangan setiap keluarga mempunyai kisah dan cabaran yang berbeza, justeru orang luar tidak seharusnya mudah menghakimi sesuatu konflik.
Ujarnya, walaupun setiap individu melalui pengalaman berbeza, Islam tetap mengajar umatnya supaya menjaga silaturahim dan mempertimbangkan setiap keputusan dengan sebaiknya.
“Setiap keluarga ada kisah masing-masing. Kadang-kadang kita cakap, ‘kau adik-beradik jangan berkira sangat’, sedangkan kita tak tahu apa yang dia lalui.
“Cuma hujung hari kita tahu hidup ini singkat, dia tetap darah daging kita dan dalam Islam memang dinasihatkan supaya jangan putuskan silaturahim antara keluarga,” katanya.
Zizan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan konflik keluarga kerana apa yang dikongsikan mungkin meninggalkan kesan walaupun hubungan akhirnya kembali pulih.