Suruhanjaya Eropah (EC) dalam dapatan awalnya berpendapat Facebook dan Instagram mungkin melanggar Akta Perkhidmatan Digital (DSA) kerana reka bentuk kedua-dua aplikasi itu didakwa menggalakkan penggunaan media sosial secara berlebihan.
Siasatan EC mendapati ciri seperti tatalan tanpa henti (infinite scroll), mainan video automatik (autoplay), sistem notifikasi dan cadangan kandungan yang diperibadikan boleh mendorong pengguna untuk terus melayari platform berkenaan dalam tempoh yang panjang.
EC turut mendakwa Meta gagal menilai secara mencukupi risiko algoritma platformnya terhadap kesejahteraan fizikal dan mental pengguna, khususnya remaja serta individu yang rentan.
Format kandungan seperti Reels dan Stories juga dikaitkan dengan corak penggunaan berlebihan, termasuk tabiat menggunakan media sosial pada waktu malam dalam kalangan remaja.
Pada masa sama, pengawal selia Eropah itu menyifatkan alat pengurusan masa dan kawalan ibu bapa yang disediakan Meta sebagai tidak cukup berkesan.
Menurut EC, ciri berkenaan mudah diketepikan dan memerlukan pengetahuan teknikal, masa serta usaha daripada ibu bapa untuk digunakan dengan berkesan.
Bagi menangani isu itu, EC mencadangkan Meta membuat perubahan pada reka bentuk platform, termasuk mematikan ciri autoplay dan infinite scroll secara lalai, memperkenalkan peringatan waktu rehat skrin yang lebih berkesan serta mengubah sistem cadangan kandungan supaya tidak terlalu berorientasikan penglibatan pengguna.
Meta kini diberi peluang untuk mengemukakan pembelaan sebelum keputusan muktamad dibuat. Jika dapatan awal itu disahkan, syarikat berkenaan boleh dikenakan denda sehingga enam peratus daripada perolehan tahunan globalnya.
Kes tersebut menambah tekanan kawal selia yang sedang dihadapi Meta di Eropah dan Amerika Syarikat susulan beberapa tindakan undang-undang berkaitan dakwaan kesan penggunaan media sosial terhadap remaja dan pengguna muda.
Sumber: Awani