Pindah rumah memang memerlukan banyak urusan. Dalam sibuk mengemas barang dan menyesuaikan diri di tempat baharu, ramai terlupa satu perkara penting iaitu mengemas kini alamat pada MyKad.
Hakikatnya, jika anda menetap di alamat baharu selama 90 hari atau lebih, alamat pada MyKad perlu dikemas kini mengikut undang-undang.
Di bawah Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, setiap warganegara Malaysia yang berpindah ke kediaman baharu selama sekurang-kurangnya 90 hari diwajibkan mengemas kini alamat MyKad dalam tempoh 14 hari selepas berpindah di mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Peraturan ini terpakai sama ada anda membeli rumah, menyewa, berpindah kerana pekerjaan atau tinggal bersama pasangan.
Ramai mungkin tidak menyedari bahawa kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, iaitu denda sehingga RM20,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Walaupun penguatkuasaan berkaitan kesalahan ini jarang dilaporkan, alamat pada MyKad tetap penting kerana ia digunakan dalam pelbagai urusan rasmi seperti penentuan kawasan mengundi, pengesahan identiti dan urusan dengan agensi kerajaan.
Proses mengemas kini alamat juga tidak rumit. Anda hanya perlu hadir ke mana-mana cawangan JPN dengan membawa MyKad serta dokumen sokongan seperti bil utiliti, perjanjian sewaan atau perjanjian jual beli rumah. Bayaran yang dikenakan ialah RM10 bagi warganegara kerana MyKad baharu akan dicetak semula dengan alamat terkini.
Jadi, jika anda sudah lama berpindah tetapi masih menggunakan alamat lama pada MyKad, mungkin ini masa yang sesuai untuk menyemaknya.