TikTok dan YouTube dilaporkan masih belum cukup selamat untuk kanak-kanak selepas gagal memberi komitmen terhadap perubahan ketara bagi mengurangkan kandungan berbahaya di platform masing-masing.
Menurut badan kawal selia Britain, Ofcom, bukti terbaharu menunjukkan pendedahan kanak-kanak terhadap kandungan berbahaya dalam talian masih berada pada tahap membimbangkan walaupun pelbagai langkah keselamatan telah diperkenalkan.
“Platform berkenaan masih belum cukup selamat,” menurut laporan tersebut.
Ofcom berkata sejak kewajipan keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak dikuatkuasakan di United Kingdom pada Julai 2025, perubahan terhadap tahap pendedahan kandungan berbahaya masih kecil.
Kajian itu mendapati hampir tiga perempat remaja berusia 11 hingga 17 tahun atau 73 peratus pernah terdedah kepada kandungan berbahaya dalam tempoh empat minggu.
Lebih satu pertiga daripada mereka pula mengingati bahawa kandungan tersebut muncul ketika sedang menatal suapan media sosial secara biasa.
Menurut Ofcom, TikTok menjadi platform paling banyak dikaitkan dengan kandungan berbahaya dalam kalangan remaja, iaitu sebanyak 53 peratus.
Ia diikuti YouTube sebanyak 36 peratus, Instagram 34 peratus dan Facebook 31 peratus.
Dalam masa sama, tinjauan itu turut mendapati hanya 15 peratus kanak-kanak memaklumkan pengalaman tersebut kepada orang dewasa walaupun pernah terdedah kepada kandungan berbahaya dalam talian.
Ofcom juga mendedahkan bahawa 84 peratus kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun masih menggunakan sekurang-kurangnya satu platform media sosial utama seperti YouTube, TikTok, Instagram, Facebook dan Snapchat walaupun had umur minimum untuk platform tersebut ialah 13 tahun.
Susulan itu, badan pemantau tersebut telah mengeluarkan permintaan maklumat terperinci kepada Meta, TikTok dan YouTube mengenai cara mereka mengesan serta menghalang kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan berbahaya.
Laporan itu sekali lagi membuka perbincangan mengenai sejauh mana media sosial benar-benar selamat untuk kanak-kanak, terutama apabila ramai ibu bapa bergantung kepada platform digital sebagai sebahagian daripada rutin harian anak-anak hari ini.