Cadangan penggunaan MyKad bagi mengesahkan umur pengguna media sosial bawah 16 tahun tidak dianggap bercanggah dengan dasar sedia ada.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, penggunaan dokumen rasmi seperti MyKad untuk tujuan pengesahan identiti sebenarnya sudah lama dipraktikkan dalam pelbagai platform digital termasuk perkhidmatan e-dompet.
“Dari segi polisi, MyKad sememangnya sudah digunakan untuk tujuan pengesahan identiti.
“Justeru, kita tidak melihat sebarang percanggahan dalam penggunaan dokumen rasmi bagi pengesahan umur kerana pendekatan ini sudah diguna pakai dalam sektor lain,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Dalam masa sama, Fahmi menjelaskan bahawa aspek keselamatan data serta keserasian sistem akan dipantau di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.
Beliau turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan taklimat khusus kepada media bagi menjelaskan lebih lanjut tentang cadangan sekatan penggunaan media sosial untuk individu bawah 16 tahun.
Taklimat itu dijangka memberi penjelasan lebih terperinci termasuk dari sudut teknikal pelaksanaan.
Sebelum ini, kerajaan mencadangkan larangan kepada individu bawah usia 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial seawal hujung bulan depan, bergantung kepada tahap kesiapsiagaan semasa.
Cadangan tersebut dilihat selari dengan langkah beberapa negara lain termasuk Australia yang mula mengetatkan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja susulan kebimbangan terhadap kesannya kepada golongan muda.
Sumber: Astro Awani