Bayangkan suatu hari nanti, menjaga ibu bapa yang semakin tua bukan lagi sekadar tanggungjawab moral atau budaya keluarga, tetapi menjadi kewajipan di sisi undang-undang.
Itulah antara perkara yang kini sedang dipertimbangkan kerajaan Malaysia apabila cadangan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan nafkah ibu bapa sedang diteliti sebagai langkah menghadapi peningkatan populasi warga emas di negara ini.
Menurut laporan media tempatan, kerajaan sedang mengkaji mekanisme yang boleh memastikan anak-anak dewasa terus memainkan peranan dalam menjaga kebajikan ibu bapa yang semakin berusia.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan RUU tersebut dijangka dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh enam bulan akan datang.
Menariknya, Malaysia turut melihat model yang dilaksanakan di Singapore menerusi Maintenance of Parents Act, iaitu undang-undang yang membolehkan ibu bapa berusia 60 tahun ke atas menuntut sokongan kewangan daripada anak-anak mereka.
Namun bagi ramai orang, isu ini bukan sekadar soal wang.
Ia membuka perbincangan lebih besar tentang perubahan struktur keluarga moden, tekanan ekonomi generasi muda serta bagaimana hubungan antara anak dan ibu bapa berubah seiring masa.
Hari ini, ramai anak dewasa bukan sahaja perlu menyara ibu bapa, tetapi dalam masa sama membayar komitmen rumah, membesarkan anak sendiri dan berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Sebab itu kerajaan turut memaklumkan bahawa sebarang pelaksanaan undang-undang seumpama itu akan mengambil kira kemampuan kewangan anak-anak.
Mereka yang menganggur, mempunyai tanggungan sendiri atau berada dalam kesempitan kewangan mungkin dikecualikan atau hanya perlu memberi bantuan minimum.
Dalam masa sama, Malaysia juga sedang menyediakan satu lagi RUU berkaitan warga emas sejak 2023 bagi melindungi golongan tersebut daripada pengabaian, penderaan dan eksploitasi.
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad sebelum ini menegaskan bahawa isu penuaan penduduk tidak lagi boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan besar terhadap sistem kesihatan, kebajikan dan masyarakat secara keseluruhan.
Menurut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, satu daripada lima rakyat Malaysia dijangka berusia 60 tahun ke atas menjelang tahun 2048.
Malah, Malaysia juga dijangka mencapai status masyarakat menua apabila golongan berusia 65 tahun ke atas melebihi 14 peratus daripada jumlah populasi negara.
Dalam dunia yang semakin sibuk dan mencabar hari ini, persoalan tentang siapa yang akan menjaga ibu bapa ketika tua mungkin akan menjadi antara perbincangan paling penting buat banyak keluarga selepas ini.